PENYANYI terkenal Misha Omar mengambil keputusan untuk menangguhkan seketika proses rawatan kesuburan bagi mendapatkan cahaya mata keduanya, demi menjayakan konsert bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) di Istana Budaya, pada 30 Oktober depan.

Menurut pemilik nama sebenar Samihah @Aisah Omar, 39, tawaran menjayakan konsert tersebut merupakan sesuatu yang cukup dinantikan, apatah lagi ia sebagai simbolik tahun ke-19 penglibatannya dalam industri seni.

Justeru, Misha berkata, dia bimbang tidak dapat memberikan persembahan terbaik dalam konsert tersebut, sekiranya sedang hamil.

“Saya dapat tawaran menjayakan konsert ini sekitar April lalu, tetapi disebabkan keadaan pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya fikir ia mungkin tidak dapat diadakan.

“Jadi saya mulakan rawatan kesuburan untuk hamil anak kedua. Namun tiba-tiba saya dimaklumkan konsert itu akan diteruskan mengikut perancangan, sekali gus membuatkan saya dalam dilema. Apatah lagi rawatan kesuburan yang dijalani itu sudah masuk ke proses akhir.

“Bagaimanapun setelah melakukan perbincangan dengan suami, saya memutuskan untuk menghentikan rawatan tersebut buat sementara waktu sehingga konsert selesai,” jelasnya.

Misha yang ditemui pada sidang media konsert OSK Bersama Bintang – Misha Omar di Istana Budaya, pada Selasa, mengakui tidak mahu reputasinya terjejas, jika gagal memberikan yang terbaik disebabkan masalah tidak terjangka ketika hamil.

“Jika saya mengandung, sihat dan boleh menyanyi macam biasa, mungkin tiada masalah. Cuma saya bimbang jika kehamilan itu meletakkan saya dalam situasi sebaliknya seperti alahan teruk sehingga menjejaskan tumpuan saya nanti.

“Saya tidak mahu ambil risiko kerana konsert ini adalah impian saya. Dalam masa sama, saya tidak mahu menghampakan peminat yang mungkin lama menunggu saat ini.

Iklan

“Saya perlu akui, kecintaan pada bidang seni terlalu besar dan sentiasa dilakukan dengan sepenuh hati saya. Jadi saya harus membuat pilihan terbaik dengan sedikit pengorbanan,” akui Misha.

Bagaimanapun, tegas penyanyi Tanpa Rela itu, dia akan meneruskan kembali usaha #MenjejakKhadeja selepas konsert tersebut.

Iklan

“Selepas semuanya selesai nanti, saya akan kembali teruskan proses rawatan kesuburan untuk hamil anak kedua. Doktor pun kata tak ada masalah,” katanya.

Misha sebelum ini mendedahkan sedang menjalani rawatan kesuburan di sebuah pusat perubatan dalam usaha untuk hamil kali kedua selepas melahirkan cahaya mata pertama, lima tahun lalu.

Berkahwin dengan juruterbang, Firros Ezzwan Rosly, pada 2 Mei 2014, Misha dan suami dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Idris Ezzwa. Selain itu, Misha turut memiliki anak angkat lelaki bernama Muhammad Adam Emir yang kini telah berusia 15 tahun.