SEJAK 23 Januari lau, Astro Tutor TV mula membantu calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)  menerusi program istimewa, 30 Hari Menjelang SPM.

Selama 30 hari berturut-turut, dari jam 5 hingga 7 petang di saluran Tutor TV 603, pelajar SPM boleh mengulangkaji pelajaran dengan Pelan A+ SPM, Misi Studi, Top Tutor dan Top Tips.

Kesemua program itu meliputi mata pelajaran teras seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah dan Sains, serta mata pelajaran elektif termasuklah Matematik Tambahan, Biologi, Fizik, Kimia, Prinsip Perakaunan, Ekonomi Asas dan Geografi.

Naib Presiden Strategi Kandungan, Perniagaan Antarabangsa dan GenNext Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin, berkata, ia merupakan salah satu inisiatif pihaknya bagi memastikan kelangsungan prestasi dan momentum akademik calon-calon yang bakal menduduki peperiksaan mulai 22 Februari ini.

“Kami berharap program ini dapat membantu calon SPM untuk terus kekal positif walaupun di sebalik dugaan pandemik yang berlaku pada hari ini.

“Bagi pelajar menengah rendah pula, kami sediakan program edutainment, SMK: Study Squad mulai 27 Januari, setiap Rabu, jam 3 petang di saluran Tutor TV 602 dan Astro Ceria (611 HD, 631 SD), di mana mereka boleh mengulang kaji mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Geografi untuk sukatan pelajaran Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 bersama selebriti, Wany Hasrita, Atu Zero dan barisan pelakon siri komedi SMK.

Iklan

“Besar harapan kami agar inisiatif ini dapat membantu ramai murid dan guru-guru dalam sesi pembelajaran dan pengajaran, terutamanya buat mereka yang tidak memiliki akses kepada kemudahan digital,” ujarnya.

Iklan
Barisan guru yang akan membantu calon SPM.

Sementara itu, kandungan program TV Pendidikan untuk sekolah rendah dan menengah anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia di Tutor TV tetap disiarkan seperti biasa, dengan lebih 170 episod baharu.

Program TV Pendidikan meliputi semua mata pelajaran teras dan beberapa mata pelajaran elektif seperti Perniagaan, Ekonomi dan banyak lagi.