MLS2: Impian ABC, Zuzuzu mara ke final musnah
IMPIAN kumpulan ABC dan Zuzuzu untuk melangkah ke final musnah apabila mereka diumumkan tersingkir dalam persaingan minggu separuh akhir Muzikal Lawak Superstar musim kedua (MLS2) yang bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Jumaat.
Persembahan ABC yang dianggotai oleh Chiwan Chilok, Achok Chilok dan Cik B pada persembahan minggu separuh akhir dilihat kurang menjadi.
Percaturan mereka menampilkan Datuk Seri Vida yang juga merupakan ibu kepada Cik B untuk membantu persembahan menjadi sebaliknya apabila ia ternyata gagal menarik perhatian barisan juri.
Sementara itu, penyingkiran Filzah Azmi, Nizam Jentik-Jentik dan Zahid AF daripada kumpulan Zuzuzu pula sudah dijangka kerana hampir saban minggu berada di kedudukan tiga terbawah.
Kumpulan Heart yang dianggotai Danial Lawak Solo, Ezad Lazim dan Azmi Caliph Buskers pula semakin yakin beraksi apabila sekali lagi dipilih sebagai penerima anugerah Superstar of The Week, sekali gus melayakkan diri ke final.
Kumpulan lain yang turut melayakkan diri untuk mara ke final pada minggu hadapan ialah Viral, U.N.I dan Janggo.
Persembahan kesemua peserta diadili oleh tiga juri tetap iaitu Datuk Awie, Fazura dan Zul Ariffin yang mewakili 50% pemarkahan, manakala 50% lagi daripada undian penonton.
MLS2 menyaksikan 14 kumpulan bertanding yang terdiri daripada barisan pelawak dan selebriti dari pelbagai cabang industri hiburan termasuklah pelakon, penyanyi dan personaliti popular.
Masing-masing berentap untuk merebut gelaran juara dan membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM150,000.
Program yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Elly Mazlein itu disiarkan secara langsung menerusi saluran Warna HD (107) dan Astro Warna (127), setiap Jumaat, jam 9 malam.
(FOTO: Azrul Rafie - Astro)
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang