HAMPIR 10 tahun berkecimpung dalam arena muzik tempatan, penyanyi dan komposer Ryan Deedat semakin selesa dengan hala tuju muziknya.

Memulakan kerjaya nyanyiannya bersama kumpulan alternatif rock RVL sejak tahun 2010, jejaka yang mesra disapa dengan panggilan Ryan ini pernah beraksi sebagai pembuka tirai dalam konsert-konsert artis antarabangsa seperti Simple Plan, Against The Current, Tiffany Alvord, Jason Chen, Megan Nicole, Clara C dan artis K-Pop, Alexander dari kumpulan ‘U-KISS’.

Namun sejak bergerak solo pada tahun 2017, nama Ryan semakin dikenali peminat muzik. Menerusi single debut Salimah bersama Allahyarham Sandra Dianne, lagu tersebut mendapat sambutan hangat sehingga berjaya menjuarai carta radio dan tersenarai dalam cara platform digital seperti Joox.

Bagi mengukuhkan lagi namanya sebagai penyanyi yang memberikan warna kepada industri muzik Malaysia, kini Ryan kembali dengan single keempatnya berjudul Monalisa. Sekali lagi mengangkat nama wanita sebagai judul lagu, kali ini Ryan mengangkat nama wanita yang masyhur di dunia.

Monalisa merupakan ciptaan Mas Dewangga dan Firdaus Rahmat. Lagu ini turut mendapat sentuhan komposer dan penerbit terkenal Omar K sebagai penerbit rakaman.

Menurut Ryan, dia cuba mencari kelainan dengan mempertaruhkan genre lagu berbeza dalam setiap singlenya.

“Setelah muncul dengan lagu berentak EDM dan ballad, kali ini saya kembali hasilkan karya berentak reggaeton seperti awal kemunculan solo saya,” katanya.

RYAN DEEDAT
Ryan tampil dengan genre lagu berbeza bagi memberi kelainan kepada peminat.

Lagu berentak reggaeton yang diberikan susunan muzik indah ini turut disuntik dengan elemen muzik Timur Tengah. Seakan mengambil inspirasi daripada karya agung lukisan Leonardo da Vinci, senyuman misteri wanita dalam potret Mona Lisa berjaya menawan sesiapa yang menatapnya.

Iklan

Begitu juga dengan lagu ini, melodi lagu yang mesra telinga ini dihiasi dengan seni kata bercerita tentang obsesi seorang lelaki terhadap wanita misteri yang berjaya mencuri perhatiannya.

Sementara itu, Pengurus Promosi & Pemasaran Domestik Universal Music Malaysia, Anne Mukhtar berkata, pihaknya tertarik dengan aspirasi dan potensi yang dimiliki Ryan untuk membawa muzik Malaysia ke peringkat global.

“Ini merupakan kolaborasi pertama Universal Music bersama Ryan. Kami menyediakan perancangan rapi untuk mengukuhkan lagi status Ryan sebagai pejuang muzik urban di Malaysia bermula dengan lagu Monalisa ini,” ujarnya.

Iklan

Monalisa merupakan terbitan bersama Fave Productions Sdn Bhd dan Universal Music Malaysia. Lagu tersebut boleh didapati di pelantar digital kegemaran seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music sejak 18 Septermber lalu. Manakala video muzik rasmi lagu ini boleh ditonton di saluran YouTube Official Ryan Deedat.