BIARPUN sudah membintangi sederetan drama dan telefilem, pelakon Muaz Fitri mengakui wataknya sebagai Hakim menerusi drama Takdir Yang Tertulis memberi impak berbeza kepada kerjaya seninya.

Tidak pernah menyangka drama tersebut menjadi tular dan trending pada setiap episod, Muaz atau nama penuhnya Muaz Aidil Fitri Maslan, 30, bersyukur akhirnya bakat lakonannya mula diberikan perhatian.

“Saya menumpang tuah populariti drama tersebut yang menampilkan barisan pelakon hebat yang berjaya menghidupkan watak masing-masing dengan berkesan.

“Apabila kita bekerja dengan orang-orang yang bagus, secara tidak langsung kita juga turut ‘memberi’ demi memastikan naskhah yang dikerjakan itu memberikan hasil terbaik.

“Nama saya disebut-sebut mungkin kerana plot twist pada pengakhiran cerita ini melibatkan karakter lakonan saya, Hakim yang mengundang kecaman ramai,” ujarnya yag pernah membintangi drama Aurora Aisyah, Lara Syakila, Cari Aku Di Syurga dan lain-lain.

Muaz mengakui karakter tersebut mencabar buatnya, apatah lagi apabila dia diminta pengarah drama tersebut, Sharulezad untuk memberikan sesuatu yang berbeza.

“Saya percaya, orang nampak saya ‘hidup’ dalam drama ini kerana watak antagonis sebagai Hakim.

“Sebelum ini saya kerap diberikan watak baik menyebabkan karakter lakonan saya kurang menonjol.

“Shahrulezad mencabar saya dengan watak antagonis yang jahatnya bukan mengasari secara fizikal, tetapi menerusi mimik muka yang akhirnya melibatkan emosi marah, menyampah dan sebagainya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Muaz berkata, dia sentiasa menghargai peluang berlakon dengan team produksi berbeza yang secara tidak langsung mendedahkan dirinya kepada ilmu dan pengalaman baharu.

“Sebagai orang baharu dalam industri, saya mahu menggunakan peluang sebaik mungkin untuk menambah ilmu lakonan.

“Malah setiap kali sebelum masuk ke set baharu, saya akan membuat persiapan rapi kerana menghargai peluang diberikan.

Iklan

“Alhamdulillah dari hari ke hari, saya dapat memberikan lebih baik berbanding lakonan terdahulu yang mungkin banyak kurangnya,” katanya yang turut aktif mengusahakan perniagaan miliknya, kurta jenama Qarizh.

Berkongsi perkembangan terkininya, kata Muaz, dia sedang sibuk di lokasi penggambaran drama berjudul Duit, selain menunggu tayangan drama lakonannya, My Sweetheart Hannan yang bakal menemui penonton tidak lama lagi.

“Alhamdulillah walaupun tawaran tidak serancak sebelum ini disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan, saya bersyukur kerana rezeki masih menyebelahi.

Iklan

“Selepas Takdir Yang Tertulis, saya terus membuat persiapan untuk drama baharu sebelum memulakan penggambaran baru-baru ini,” ujarnya.

Menyentuh tentang kehidupan peribadinya yang dikatakan bakal melangsungkan perkahwinan dengan kekasih yang juga pengurusnya, Qaseh Anita, 45, Muaz berkata, perancangan itu terpaksa ditangguhkan dahulu buat masa ini.

“Kalau ikutkan, kami merancang melangsungkan perkahwinan pada tahun ini, tetapi disebabkan pandemik masih belum reda, kami sepakat menangguhkan ke tahun depan sahaja.

“Jadi kami gunakan masa yang ada pada tahun ini untuk menyelesaikan kerja-kerja seni terlebih dahulu sebelum kembali fokus pada rancangan perkahwinan,” akuinya.