KOLABORATIF antara siri animasi Islamik popular ‘Omar & Hana’ bersama Tokoh Agama Antarabangsa, Ismail ibn Tata Menk atau lebih mesra dikenali sebagai Mufti Menk mencecah lebih 1.3 juta tontonan melalui saluran YouTube rasmi Omar & Hana versi bahasa Inggeris.

Siri pendek 5 episod berdurasi 2-4 minit itu merupakan ilham untuk menggalakkan kanak-kanak mengenali serta mencintai Rasulullah SAW melalui penceritaan dan animasi yang menarik.

Dalam siri istimewa bersama pendakwah antarabangsa itu, Mufti Menk ‘menyertai’ dunia animasi Omar & Hana dalam watak 3D-nya sendiri.

Menyentuh topik-topik seperti sejarah keluarga Rasulullah SAW, keistimewaan kelahiran Baginda, serta cinta Baginda terhadap binatang, episod kelima iaitu  terakhir kolaboratif ini bakal dilancarkan pada Sabtu, 19 Disember 2020 ini, jam 7 malam di saluran YouTube rasmi Omar & Hana (versi bahasa Inggeris).

Sementara itu, Mufti Menk berkata, Omar & Hana merupakan sebuah siri animasi ‘edutainment’ yang penuh bermakna dan sarat dengan nilai murni.

“Dari peringkat awal lagi, kita harus menggalas tanggungjawab untuk menggalakkan anak-anak kita untuk menonton kandungan yang bukan sahaja menghiburkan tetapi dapat mendidik generasi baharu ini dengan lebih baik,” jelasnya.

Kolaboratif bersama Mufi Menk ini merupakan salah satu strategi antarabangsa syarikat Digital Durian untuk  menjangkau kanak-kanak beragama Islam di seluruh dunia menerusi platform TV mahupun digital.

Sejak dilancarkan tahun 2017 lalu, saluran YouTube Omar & Hana versi bahasa Melayu dilanggani lebih 4 juta peminat dan merekodkan 1.8 bilion tontonan, manakala saluran versi bahasa Inggeris pula mencatatkan hampir 600 ribu langganan dan 230 juta jumlah tontonan.

Iklan

“Alhamdulillah, kerjasama kami dengan Mufti Menk, seorang pendakwah yang cukup terkenal di peringkat antarabangsa, dapat membantu jenama Omar & Hana untuk menjangkau lebih ramai kanak-kanak beragama Islam di seluruh dunia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Digital Durian, Sinan Ismail.

Penerbit ‘Omar & Hana’, Fadilah A. Rahman berharap anak-anak dan ibu bapa dapat menikmati episod-episod istimewa bersama Mufti Menk ini dan menggalakkan semua yang menonton untuk memberi maklum balas agar pihak produksi boleh sentiasa menghasilkan sajian kandungan yang terbaik untuk santapan audiens.

“Kolaboratif kami bersama Mufti Menk diumpamakan sebagai satu impian yang telah menjadi kenyataan. Dengan pencapaian ini, kami lebih yakin dengan hasil produksi kami dan akan sentiasa memperkasakan usaha untuk menghasilkan lebih banyak lagi kandungan yang bermutu tinggi,” katanya.

Iklan

Untuk maklumat lanjut mengenai Omar & Hana, layari www.omarhana.com. Siri animasi Omar & Hana bersiaran di Astro Ceria setiap Jumaat, jam 11 pagi.