Munif Hijjaz tarik peminat generasi baharu di saluran YouTube

A
A
A

KEMUNCULAN  pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu ternyata memberi kesan besar kepada sosial dan ekonomi semua pihak termasuk penggiat seni.

Industri seni turut terjejas apabila banyak aktiviti dan acara persembahan terpaksa ditunda atau dibatalkan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Demi kelangsungan hidup, masing-masing mencari pelbagai inisiatif bagi memastikan mereka terus mempunyai sumber pendapatan.

Vokalis kumpulan nasyid Hijjaz, Munif atau nama sebenarnya Munif Ahmad, turut mengambil pendekatan sama dengan memanfaatkan perkembangan teknologi media sosial untuk mencari rezeki dan meneruskan kesinambungan perjuangan seni.

Malah Munif menggunakan laman YouTube untuk memperkenalkan karya terbaharunya kepada peminat.

“Saya kini giat menghasilkan lagu sendiri dengan susunan muzik lebih segar dan sesuai dengan selera pendengar hari ini dengan memuat naik di laman YouTube milik saya, Munif Hijjaz Channel.

“Percubaan pertama dengan menampilkan lagu Sumayyah dalam versi bahasa Arab pada September tahun lalu mendapat maklum balas positif apabila berjaya mencecah 120,000 jumlah tontonan.

“Kejayaan itu menguatkan semangat saya untuk terus berkarya. Sejak Disember 2020, boleh dikatakan hampir setiap bulan saya lancarkan single baharu,” katanya.

Selain Sumayyah, Munif Hijjaz Channel turut menampilkan lagu Pemilik Cinta 2021, Madinah YA Habibi, Dia Kekasih Allah 2021 serta banyak lagi.

Munif mahu terus hangatkan irama nasyid.

Menurut Munif, 47, pendekatan tersebut dilakukan untuk memberi peluang kepada peminat generasi baharu menikmati lagu-lagu nasyid terbaik yang pernah dihasilkan sebelum ini.

“Peminat generasi baharu mungkin tidak berpeluang mendengar lagu-lagu ini ketika era kegemilangannya dahulu.

“Jadi saya perdengarkan semula untuk menarik minat generasi baharu menikmati irama nasyid, sekali gus menggamit nostalgia peminat-peminat generasi terdahulu.

“Bagaimanapun susunan muziknya diperbaharui untuk memberi sedikit kelainan. Kita adunkan semula muzik asal agar iramanya lebih segar dan kena dengan selera pendengar hari ini,” ujarnya.

Selain muncul secara solo, Munif turut menampilkan beberapa penyanyi lain sebagai rakan duet. Antaranya ialah Zulkifli (Rabbani), Maliq Suhaimi dan Ezad Exists.

Tegas Munif, setiap karyanya dihasilkan dengan cukup teliti kerana tidak mahu sekadar tangkap muat. Biarpun merupakan lagu rakaman semula, ia tetap dihasilkan mengikut kualiti penerbitan muzik profesional termasuklah dalam pembikinan muzik video.

“Kos penerbitan lagu ini bukan sedikit. Kalau nak harapkan saya seorang, memang tidak mampu.

“Alhamdulillah ada rakan dan pihak sudi menaja projek lagu tersebut selepas melihat kejayaan lagu-lagu dihasilkan sebelum ini.

“Sebagai tanda penghargaan, logo syarikat atau perniagaan mereka saya tampilkan di bahagian kredit di penghujung video muzik lagu tersebut,” katanya yang berterima kasih atas sokongan yang diberikan pelbagai pihak.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca