MUZIK sememangnya universal dan bahasa yang digunakan dalam sesebuah lagu tidak pernah menjadi penghalang untuk berkongsi intipati sesebuah karya.

Begitu juga yang dibuktikan oleh lagu terbaharu nyanyian Joe Flizzow, Satu Malam Di Temasek (SMDT) berjaya mencuri perhatian dunia menerusi penghasilan muzik video (MV) yang hebat.

MV luar biasa SMDT itu menerima pengiktirafan dalam bentuk ‘Anugerah Kehormat’ atau ‘Honorable Mention’ pada acara International Music Video Awards yang berlangsung di Budapest pada 4 Ogos yang lalu bagi kategori video muzik hip hop terbaik.

Penerbit eksekutif MV tersebut, Edwin Raj, berkata, sebagai sebuah syarikat yang menerbitkan MV khasnya berkonsep hip hop, ia suatu pengiktirafan yang sangat berharga bukan sahaja di peringkat tempatan tapi juga antarabangsa.

“Kami sangat gembira dengan anugerah khas ini di International Music Video Awards untuk kategori video muzik hip hop terbaik.

“Kami menghantar video itu untuk penyertaan dengan pemikiran ‘belum cuba, belum tahu’.

“Kami bersiap sedia dengan apa sahaja keputusan yang akan diperoleh, tapi sudah tentu menyimpan harapan untuk menang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Edwin juga percaya antara sebab kemenangan MV tersebut adalah perbezaan yang ditampilkan serta keberanian melakukan sesuatu di luar ruang selesa mereka.

Iklan

“Kami menggali sebuah kubur dan Joe menyanyi di dalam kubur itu untuk MV ini, ia memang gila! Ia juga lebih artistik dan pesanannya juga sangat subjektif.

“Kami nampak banyak komen penonton dengan interpretasi masing-masing, dan inilah yang membuat ia menarik.

Iklan

“Anugerah ini adalah satu peringatan mengapa kami lakukan kerja kami. Untuk mencipta dan membuat benda yang berbeza dari kebanyakan orang,” katanya.

(FOTO: UNIVERSAL MUSIC MALAYSIA)