DIAM tak diam, sudah 10 tahun penyanyi berbakat besar, Shiha Zikir berkecimpung dalam industri muzik. Sepanjang tempoh itu juga, wanita berusia 33 tahun itu bersih tanpa sebarang kontroversi liar.

Bagaimanapun tatkala muncul dengan single terbaharu AEWO sejak 5 Ogos lalu, nama Shiha menjadi sebutan hangat peminat industri seni Malaysia.

Lebih tepat lagi, konsep yang dibawa Shiha menjadi perdebatan hebat di kalangan peminat dan netizen kerana didakwa mengangkat unsur iluminati dan lathi challenge.

Tidak melatah atau terasa hati dengan komen negatif yang dilemparkan Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir punya jawapan tersendiri.

Menurut Shiha, imej segitiga yang diletak sebagai salah satu latar belakang muzik videonya itu adalah signifikasi kepada huruf A yang menjadi huruf pertama dalam judul lagunya itu.

Bukan itu sahaja, tajuk AEWO itu juga merupakan huruf gabungan korus lagu ciptaan Ezra Kong itu.

“Kisahnya ketika kami duduk berbincang mengenai judul lagu itu, saya terfikir untuk cari kelainan dan terlintas idea untuk mengabungkan huruf awal dalam korus yang membentuk perkataan AEWO.

“Kononnya AEWO itu adalah jampi tetapi ia tidak membawa maksud apa-apa pun.

“Masalah timbul bila orang kritik selepas melihat teaser dan Instagram tanpa menonton keseluruhan muzik video. Mereka membuat kesimpulan saya mengangkat iluminati dan sebagainya. Padahal imej saya di dalam muzik video tersebut adalah ahli sihir yang mahu menjampi lelaki pujaannya.

SHIHA - AEWO
Shiha kembali bekerjasama dengan troopers (penari) dalam Dansa Dan Sing, Team Squad dalam muzik video Aewo (gambar kiri). Selain itu, Shiha turut menjalin kerjasama pertama bersama Noki.

“Dalam muzik video itu juga saya tampil dengan empat imej yang berbeza. Setiap satu imej ada signifikasi tersendiri iaitu empat cabang dalam industri yang saya cuba iaitu nyanyian, lakonan, pengacaraan dan komedi.

“Malah kami juga tinggalkan mesej bahawa ilmu sihir ini tidak elok diamalkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Shiha, dia tidak menyangka kelainan dan kreativiti yang dibawakan dalam AEWO telah menimbulkan kontroversi.

Malah tidak pernah memikirkan untuk mencari publisiti murahan bagi mempromosikan karya terbaharunya.

“Bagi saya semuanya berbalik pada niat. Saya tak pernah berniat untuk mencari sesuatu bagi mencetuskan kontroversi dan akhirnya memberi publisiti kepada kerjaya saya.

“Sejak 10 tahun lalu pun, saya tak pernah kejar publisiti untuk menaikkan nama, walaupun saya akui publisiti itu perlu untuk menaikkan nama seseorang artis.

“Cuma saya harap orang tidak mudah kaitkan bentuk segitiga dengan iluminati. Kita juga belajar bentuk tersebut daripada sekolah lagi,” jelasnya.

Ditanya keistimewaan dan kelebihan lain AEWO, pelakon dan pelawak itu berkata, buat pertama kalinya dia berduet dengan rappers, Noki dan bekerjasama dengan troopers (penari) yang mengiringinya dalam program Dansa Dan Sing iaitu Team Squad.

“Saya dah lama nak bekerjasama dengan Ezra Kong dan alhamdulillah akhirnya impian saya untuk menyanyikan lagu ciptaannya menjadi kenyataan.

“Bukan itu sahaja, buat pertama kalinya saya berduet dengan Noki dan saya sangat kagum kerana dia bukan sahaja boleh rap dengan baik, tetapi juga boleh menyanyi.

“Selain itu dalam muzik video AEWO saya menari bersama Team Squad saya dan ia juga merupakan muzik video pertama yang menyaksikan saya menari,” ujarnya.

Iklan

‘Dilamar’ Zizan & Sharif Zero

Sementara itu, berkongsi perkembangan lainnya, anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu sedang menjalani penggambaran filem Hantu Bonceng 2 di Bukit Fraser, Pahang.

Katanya, dia berasa teruja apabila ditawarkan berlakon filem berkenaan oleh pelakon utama, Zizan Razak.

“Saya dan Zizan jarang berjumpa tapi bila dia hubungi saya bertanya adakah saya berminat untuk membintangi Hantu Bonceng 2, saya memang tidak berfikir panjang untuk menerimanya.

“Selepas ini, saya akan terlibat dengan penggambaran 20 episod sebuah program baharu yang memaparkan tempat menarik di negeri Perak,” katanya.

Iklan

Selain ‘dilamar’ Zizan, Shiha mengakui turut didekati Sharif Zero untuk bekerjasama dalam program komedi terbaharu.

Bagaimanapun setakat ini, dia belum dapat memberi jawapan pasti kepada tawaran itu.

“Saya sangat berterima kasih kepada Sharif sebenarnya kerana dia nampak kebolehan dan kelebihan saya dalam dunia komedi.

“Dia ada ajak saya bekerjasama sekali lagi untuk sebuah program komedi tapi saya mahu selesaikan kerja satu persatu dan sekiranya ada rezeki InsyaALLAH saya akan menerima,” jelasnya.

https://www.instagram.com/p/CDiyXrqgbow/?utm_source=ig_web_copy_link