“Aidilfitri yang berbeza”. Itu antara luahan Nabil Ahmad saat berkongsi tentang sambutan rayanya yang pertama kali diraikan tanpa bapa tercinta, Ahmad Ismail yang meninggal dunia pada Oktober tahun lalu.

Meski terasa dengan kehilangan tersebut, anak kelahiran Mambau, Negeri Sembilan itu tetap bersyukur dapat meraikan lebaran bersama ibu, isteri dan anak-anak yang sentiasa memberikan kegembiraan buatnya.

“Setiap tahun kami adik-beradik akan beraya bersama dengan ibu dan ayah. Jadi bila pertama kali beraya tanpa ayah, tentulah sedih dan rindu dengan momen ketika arwah masih ada.

“Namun kami masih boleh bertahan dan mengawal perasaan itu, tetapi sebaliknya dengan ibu yang mungkin lebih sedih sebagai isteri yang telah lama hidup bersama arwah.

“Bagaimanapun, insya-ALLAH semuanya akan baik-baik sahaja selepas ini. Ibu ada anak-anak dan cucu yang ramai di sisi,” ujarnya.

Penyayang

Berkongsi kenangan raya bersama arwah bapanya, Nabil yang kini menumpang kasih dengan bapa mertuanya berkata, arwah seorang yang cukup penyayang dan suka melayan karenah cucu terutamanya ketika pulang beraya.

Nabil teruja bawa anak-anak beraya.

“Banyak sangat kenangan dengan arwah dan sukar untuk disebut satu-satu. Apa yang pasti arwah ayah seorang yang cukup penyayang dan suka melayan cucu-cucunya.

“Mungkin sebab anak-anak semua sudah besar, jadi perhatiannya beralih kepada cucu,” kongsi bapa kepada tiga anak itu lagi.

Dalam pada itu, Aidilfitri Nabil pada tahun ini juga sedikit berbeza apabila tidak dapat bercuti raya lama berikutan terikat dengan tugasannya sebagai penyampai radio untuk slot 3 Pagi Era bersama Radin dan Azad Jazmin sejak Julai tahun lalu.

Iklan

“Sebelum ini boleh cuti raya lama, tetapi sejak jadi penyampai radio di slot pagi, kena rancang dan atur jadual betul-betul.

“Balik kerja, kena tidur dulu sekejap dan selepas itu barulah boleh bawa isteri dan anak-anak pergi beraya.

Iklan

“Apa-apa pun, alhamdulillah sejak anak-anak dah besar semua urusan jadi lebih mudah sedikit berbanding sebelum ini,” katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi