JIKA kebanyakan pelakon menyimpan hasrat untuk bergelar pengarah atau penerbit, berbeza pula kisahnya dengan pelakon berbakat besar, Nabila Huda.

Ujar bintang berusia 36 tahun itu, biarpun meminati kerja-kerja belakang tabir, dia menyimpan impian untuk menjadi pengarah fotografi atau pengarah seni.

Bukan hanya sekadar cakap kosong, sebaliknya Nabila atau pemilik nama penuh Nabila Huda Suhaimi itu berhasrat untuk mengikuti kelas khas bagi merealisasikan impiannya itu.

“Sejak dahulu lagi, saya tak pernah menyasarkan atau menyimpan impian untuk menjadi seorang pengarah mahupun penerbit.

“Sejujurnya saya lebih meminati tugas pengarah fotografi atau pengarah seni. Dulu selepas habis persekolahan, saya memang ada menyimpan impian untuk menyambung pengajian dalam bidang itu.

“Bagaimanapun, saya sedar dengan kekangan kewangan pada masa itu dan tak reti untuk berkongsi kemahuan saya, maka hasrat itu dilupakan begitu sahaja.

“Tetapi bila dah lama dalam bidang seni dan bakal berusia 36 tahun tidak lama lagi, saya kira perlu untuk saya merealisasikan impian itu.

“Sekurang-kurangnya kalau saya tak berlakon, saya boleh terlibat dengan kerja belakang tabir pula,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program baharu, The Masked Singer Malaysia baru-baru ini.

Nabila mengakui meminati kerja-kerja belakang tabir dan menyimpan impian untuk menjadi pengarah fotografi suatu hari nanti.

Tambah Nabila, dia merasakan tugas sebagai seorang pengarah itu lebih berat dan menyebabkan dia tidak dapat tidur lebih lena.

“Antara sebab lain saya minat dengan tugas pengarah fotografi ini adalah kerana mata saya boleh menangkap sesuatu walaupun ia kecil dan saya sangat menghargainya.

“Sebab itu saya minat sangat untuk mencuba. Walaupun ada yang kata saya lebih layak duduk di kerusi pengarah, tapi bagi saya visi hidup saya bukan ke arah itu.

“Malah, saya sanggup mencuba kerja-kerja di belakang tabir sebagai permulaan sekiranya diberi peluang. Bayarlah saya dengan harga kru di belakang tabir,” ujarnya.

Tidak menunggu lama untuk merealisasikan impiannya itu, Nabila berkata, sebagai permulaan, dia akan terlibat sebagai pengarah uji bakat dan guru lakonan untuk sebuah filem remaja yang masih dalam proses praproduksi.

“Saya sudah mula melakukan persiapan kecil-kecilan dan tidak sabar untuk memulakan tugas itu nanti,” katanya.

Sanggup berhabis

Iklan

Sementara itu, berkongsi penglibatannya dalam program The Masked Singer Malaysia, Nabila berkata, dia berasa sangat bangga apabila terpilih menjadi juri bersama lapan personaliti yang lain.

The Masked Singer Malaysia… Barisan juri tetap, hos, bergambar bersama Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd Salleh.

Malah demi memastikan tampak bersedia saban minggu ke udara, bintang utama filem M4M4 itu sanggup berbelanja 70 peratus gajinya untuk tampil bersesuaian dengan program itu.

“Ini pertama kali saya menjadi juri untuk sebuah program besar. Rasa bangga juga sebab selalunya orang yang dipilih menjadi juri adalah orang yang berpengalaman atau ada pencapaian tersendiri dalam karier mereka. Bagi saya orang itu yang layak duduk di kerusi juri.

“Jadi bila dipanggil jadi juri, saya rasa terkejut tapi dalam masa sama, saya rasa program ini kena dengan karakter saya. Memandangkan mereka tiada tema tertentu setiap minggu, jadi saya sendiri yang cipta penampilan sebab saya memang suka bersiap.

“Maklumlah kalau di set, susah untuk bersiap, nampak cantik, nanti tak kena pula dengan watak. Bila ada peluang macam ini, saya buat sungguh-sungguh sebab suka nampak bersedia,” jelasnya.

Iklan

Selain Nabila, antara lain yang duduk di kerusi juri tetap ialah Datuk Aznil Nawawi, Raja Azura, Ella Aminuddin, Remy Ishak, Zizan Razak, Ramona Zamzam, Michael Ang dan Angah Raja Lawak.

Nabila sanggup berhabis 70 peratus gajinya demi tampil dengan sesuatu yang berbeza dan kelihatan bersedia sepanjang program The Masked Singer.

Lari daripada kebiasaan, ibu kepada Keisha Laila itu tampil berani dengan seleksi warna terang yang tidak pernah digayakan sebelum ini.

“Saya buat persiapan ini kira-kira sebulan sebelum The Masked Singer bermula. Saya pilih baju bersaiz besar dengan warna menyala.

“Dulu tak berani memakai warna sebegini kerana saya rasa tak sesuai dengan warna kulit. Tetapi saya rasa inilah masa yang sesuai untuk mencuba.

“Selain warna baju, saya juga menitikberatkan gaya rambut dan solekan yang berbeza. Kalau nak lihat hasilnya, kena tonton The Masked Singer,” katanya.