Nadia Annuar ganti Uyaina Arshad kendalikan Pencarian Nona Superwoman
PELAKON dan pengacara, Uyaina Arshad terpaksa mengundurkan diri buat sementara waktu sebagai hos utama pertandingan realiti Pencarian Nona Superwoman.
Jelas Uyaina, 29, dia terikat dengan komitmen kerja yang tidak dapat dielakkan dan tidak dapat mengendalikan program terbitan Nu Ideaktiv Sdn Bhd dan Astro Prima itu selepas dua buah episod bersiaran.
Tempat Uyaina digantikan selebriti, Nadia Annuar bermula episod ketiga pada 6 Oktober lalu dan bagi memberi kelainan istimewa, kedua-dua mereka akan kembali bergabung untuk mengemudikan pusingan kemuncak yang dijadualkan berlangsung pada 10 November kelak.
“Saya memohon maaf kerana tidak dapat bersama untuk minggu ketiga dan seterusnya atas faktor tuntutan kerja yang tidak dapat dielakkan.
“Kepada Kak Nadia Annuar, terima kasih kerana sudi menyambung tugasan mengacara program Pencarian Nona Superwoman untuk musim ini. There is no better candidate than you! All the best to you too, dan kita jumpa sewaktu pusingan akhir nanti,” katanya.
Berbesar hati dengan kepercayaan yang diberi, Nadia Annuar berkata, dia tidak pernah menjangka dan berasa amat teruja apabila menerima tawaran untuk menggalas tugas sebagai pengacara bagi program ini.
“Meskipun bidang pengacaraan bukanlah sesuatu yang baharu buat saya, namun cabaran pada kali ini bukan mudah serta turut memerlukan persediaan rapi.
“Selain perlu membawa kelainan segar dengan cara yang tersendiri, saya juga perlu menyambung legasi yang ditinggalkan oleh Uyaina dalam masa yang sama,” katanya.
Selain kejutan mengenai pertukaran hos baharu, episod ketiga menyaksikan salah seorang finalis, Syamimi Khalil, 32, yang berasal dari Kelantan telah mengambil keputusan untuk menarik diri.
Selepas penyingkiran Emma Bee, 37, pada minggu sama, kini hanya tinggal 10 finalis yang mara ke pusingan seterusnya.
Program Pencarian Nona Superwoman yang diperkasakan oleh USANITA selaku penaja utama ialah sebuah pertandingan berkonsepkan realiti untuk mencungkil potensi golongan usahawan wanita khususnya kumpulan B40 dan M40 yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sekali gus memberi inspirasi dan dorongan positif kepada segenap lapisan masyarakat yang ingin meneroka peluang sumber pendapatan baharu dengan menceburi bidang keusahawanan.
Prestasi para peserta diadili berdasarkan sistem pemarkahan 100% oleh pihak juri profesional yang terdiri daripada selebriti Awal Ashaari dan Ketua Pengarah Eksekutif USANITA, Datin Adzliana Prof Datuk Sri Dr Hasan selaku juri tetap serta juri jemputan yang diundang khas secara bergilir-gilir pada setiap minggu.
Rangkaian program Pencarian Nona Superwoman disiarkan secara eksklusif di saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan On Demand.
Juara Pencarian Nona Superwoman akan membawa pulang wang tunai RM50,000 beserta trofi. Manakala peserta yang mendapat kedudukan di tangga kedua dan ketiga pula bakal membawa pulang wang tunai RM10,000 beserta trofi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang