'Waktu sujud, langitkan doa' — Nak move on selepas ditinggalkan? Ustazah kongsi 3 cara tenangkan hati wanita
DITINGGALKAN insan tersayang bukan perkara mudah. Hati yang dulu penuh cinta kini dilanda kesepian.
Tangisan di tengah malam, rasa sunyi walau ramai di sekeliling, semua itu seolah-olah menekan jiwa tanpa henti. Namun, di sebalik luka itu, ada cara untuk kembali berdiri, menguatkan diri, dan menemui ketenangan, hanya perlu tahu ke mana hati harus berpaut.
Dedah Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, ramai wanita yang datang bertemunya selepas ceramah sering menangis, peluk dan berkongsi kisah patah hati mereka.
Ada yang kehilangan cinta, ada yang dihampakan, ada yang diuji hidup. Namun nasihat beliau cukup jelas:

q
"Kadang-kadang bila kita ingin berkongsi semua di media sosial, kita berharap mendapat simpati.
"Tapi jangan, kerana kadang komen manusia lebih menyakitkan daripada masalah asal. Luahkanlah kepada ALLAH dahulu, itu yang paling selamat," ujarnya.
Menurut Ustazah, langkah pertama untuk move on ialah mengadu kepada Yang Maha Esa.
"Luahkan semua yang tersekat di hati, merintih dan merayu ketika sujud selepas solat.
"Waktu sujud itu waktu paling dekat kita dengan ALLAH. Merintih, merayu dan mengadu di situ, bukan di ruang awam yang mungkin memberi kesan negatif pada jiwa kita," kongsinya lagi.
Selain itu, isteri kesayangan Ustaz Wan Akashah itu juga menasihati tentang kepentingan menjaga privasi diri.
Ujarnya, kesedihan tidak perlu dibuka terlalu luas kerana tidak semua orang memahami atau memberi nasihat yang membina.
"Kalau nak berkongsi, pastikan secara umum supaya mendapat nasihat positif.
"Jangan luahkan hal-hal peribadi di ruang awam, kerana itu hanya membuka ruang untuk komen negatif," ungkap beliau.

Dalam pada itu, bagi wanita yang sedang berusaha move on, ustazah menegaskan bahawa ini bukan tentang cepat melupakan, tetapi belajar melepaskan kesakitan dengan cara yang betul.
"Jangan rasa keseorangan. Manusia boleh meninggalkan kita, tetapi ALLAH tidak pernah meninggalkan.
"Menangislah dalam doa, kerana setiap kesulitan ada penawarnya. Dari situ hati kembali tenang, perlahan-lahan kita bangkit semula," titip beliau.

Kehidupan kadang meninggalkan luka, tetapi dengan iman dan ketenangan hati, setiap wanita boleh belajar untuk menghadapi dunia dengan lebih tabah.
Nasihat Ustazah Siti Nor Bahyah bukan sekadar kata-kata, tetapi panduan hidup untuk kembali menemukan diri sendiri selepas patah hati, kuat, tenang, dan yakin bahawa ALAH sentiasa ada.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
