PIHAK pengurusan Awesome TV menuntut pelakon Norlia Ghani dan Azrel Ismail membuat permohonan maaf mengenai isu bayaran tertunggak.

Ini berikutan tanggungjawab untuk membayar pelakon-pelakon itu terletak di bahu syarikat produksi yang telah dilantik untuk menerbitkan drama terbabit.

“Pihak Awesome TV tidak ada kena mengena dengan isu pembayaran tertunggak.

“Pembayaran kepada pelakon-pelakon tersebut adalah tanggungjawab syarikat produksi yang telah dilantik oleh pihak kami untuk menerbitkan drama terbabit,” ujar pihak pengurusan stesen TV terbabit dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, tindakan Norlia dan Azrel menggunakan media massa dan media sosial mempersoal mengenai bayaran secara tidak langsung telah mengheret stesen TV itu dalam kemelut sekaligus mencalarkan imej serta reputasi Awesome TV.

Iklan

“Norlia Ghani dan Azrel Ismail dinasihatkan untuk meminta maaf kepada Awesome TV kerana telah memburukkan nama stesen secara tidak adil.

“Para artis disarankan untuk menyemak kontrak artis sebelum membuat apa-apa tuduhan. Manakala golongan netizen pula janganlah membuat spekulasi dengan hanya mendengar sebelah pihak sahaja,” tegasnya.

Iklan

Sebelum ini Norlia dan Azrel mendakwa tidak menerima baki bayaran selepas membintangi sebuah drama untuk tayangan di stesen TV berkenaan.