PENGALAMAN gemuruh dan teruja untuk menunggang kuda buat pertama kali barangkali akan menjadi kenangan yang paling sukar dilupakan buat penyanyi, Sissy Imann.

Cerita Sissy atau nama penuhnya Sissy Imann Mohammad Kamil​, dia terlibat dengan penggambaran sebuah program televisyen pada Rabu.

Biarpun berasa takut dan berdebar pada mulanya, namun rasa itu hilang apabila melihat kuda bernama Prince itu memberi kerjasama yang baik kepadanya.

Bagaimanapun detik manis itu tidak lama apabila kuda berkenaan tiba-tiba enggan meneruskan perjalanan menaiki bukit dan mengubah haluan dengan laju.

“Dalam hati dah berkali-kali ucap shahadah dan saya menjerit ketika kuda tersebut berlari menuruni bukit… Dan akhirnya, saya pun terlambung jatuh ke sebelah kanan kuda bila sudah sampai ke bawah.

“Nasib tak dipijak kuda, cuma rasa kaki kuda atas badan kita,” kongsinya.

Tambah Sissy, 26, pengalaman itu meninggalkan trauma buatnya biarpun dia tidak mengalami kecederaan serius akibat insiden berkenaan.

“Selepas x-ray, doktor kata tak ada retak atau patah. Walaupun hanya calar dan lebam-lebam, tetapi rasa sakit sehingga jalan pun kena papah.

“Memang trauma sehingga setiap kali pejam mata, insiden itu bermain semula dalam kepada,” ujarnya yang meminta pengikut media sosialnya mendoakan agar Sissy cepat sembuh.

‘No more aktiviti lasak’

Iklan

Sementara itu, bapa Sissy, Mohammad Kamil​ Moustaff tidak berhenti menyalahkan dirinya atas apa yang berlaku.

Bagaimanapun Mohammad Kamil berkata, dia bersyukur kerana Sissy tidak mengalami kecederaan serius.

“Sissy sedang berehat sekarang setelah dia mendapat suntikan tahan sakit sebelum menjalani x-ray.

Iklan

“Alhamdulillah tiada yang serius, tiada patah atau retak, cuma kecederaan pada tisu lembut.

“Nasihat doktor, no more aktiviti lasak dah,” ujarnya kepada SinarPlus.