SEJAK 10 tahun berada di dalam industri seni, pengacara dan usahawan terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor atau lebih dikenali dengan Neelofa mengakui sudah lali ditanya dengan soalan cinta dan perkahwinan.

Atas sebab itu, tatkala ditanya mengenai gosip percintaannya dengan pendakwah bebas PU (Pencetus Ummah) Riz, pemilik jenama Nealofar itu tidak melatah dan hanya tertawa.

Katanya, selagi tidak ada kenyataan rasmi daripadanya maka segala cerita yang datang hanyalah khabar angin.

“Saya dah lali dengan gosip cinta, soalan bila nak kahwin. Saya dan PU Riz sudah beberapa kali bekerjasama, lebih-lebih lagi selepas insiden Zouk dahulu. Cuma sebelum ini projek kami tidak melibatkan media.

neelofa dan pu riz
Hubungan baik PU Riz (tengah) dan Neelofa telah disalah tafsir.

“Saya memilih dia untuk bekerjasama dalam Pertubuhan Kasih Neelofa yang ditubuhkan sejak bulan Jun lalu kerana dia berperanan dalam berurusan dengan media atau jurucakap. Bagi saya biarlah orang yang lebih ada pengetahuan dalam bidang seperti ini bercakap,” jelasnya.

Tambah personaliti berusia 31 tahun itu, dia meletakkan sasaran untuk mendirikan rumah tangga dalam tempoh tiga tahun lagi dan mahu memberi komitmen penuh terhadap kerjaya seni serta perniagaan terlebih dahulu.

“Sekarang kalau ada kerja di luar negara atau terasa mahu bercuti, saya tak perlu minta kebenaran sesiapa atau perlu memikirkan tentang anak serta suami.

“Saya sendiri membayangkan untuk mendirikan rumah tangga dalam tempoh tiga tahun lagi dan sekarang ini fokus saya hanya pada kerjaya dan perniagaan,” ujarnya.

Impian tercapai     

Dalam pada itu, Neelofa tidak dapat berkongsi rasa gembira dan teruja apabila impiannya untuk tampil dengan program bual bicaranya sendiri akhirnya menjadi kenyataan.

Next To Neelofa sudah menemui penonton sejak 23 Julai lalu menampilkan barisan 12 individu terkenal atau ‘A-list’ seperti Datuk Hans Isaac, Datuk Rizalman Ibrahim, Puan Sri Tiara Jacquelina, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Lee Chong Wei, Farah Ann Hadi, Tengku Iman Abdullah, Chryseis Tan, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan ratu rock negara, Ella Aminuddin.

Bercerita lanjut mengenai program tersebut, Neelofa memberitahu, sepanjang satu jam durasi bersiaran, penonton akan dapat melihat sisi lain tetamu yang tidak pernah ditunjukkan dalam mana-mana saluran sebelum ini.

“Sebenarnya sudah lama saya menyimpan impian untuk mengendalikan program seperti ini. Apa yang berbeza Next To Neelofa daripada program bual bicara lain, kita tiada segmen.

“Sebaliknya dari awal hingga akhir, saya akan cuba mencungkil rahsia individu terkenal ini dan rata-ratanya adalah kisah yang tak pernah diceritakan dalam mana-mana program sebelum ini.

“Konsep juga lebih santai dan penonton seolah-olah melihat saya dan tetamu berborak seperti kami berada dalam rumah sendiri,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Next To Neelofa yang berlangsung di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Next To Neelofa bersiaran pada setiap Khamis, jam 9 malam menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (124).

Iklan

Perancangan berubah

Sementara itu berkongsi perkembangan lainnya, Neelofa berkata, setelah wabak pandemik Covid-19 melanda dunia, dia juga tidak terkecuali terpaksa mengubah banyak rancangan kerjaya seninya.

Jelas Neelofa, dia sepatutnya menjalani penggambaran sebuah filem di Indonesia dan projek fesyen di Perancis.

“Kalau ikutkan saya membayangkan akan berada sebulan di Jakarta, sebulan di Paris dan kemudian kembali ke Malaysia secara bergilir-gilir.

“Tetapi Covid-19 telah mengubah semua perancangan itu. Apa pun saya bersyukur dan melihat dugaan ini ada hikmahnya kerana saya dapat meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.

Iklan

“Malah selepas ini, saya akan lebih memilih untuk memastikan saya ada lebih banyak masa bersama keluarga. Sebenarnya ada dua tawaran berlakon lain tetapi saya terpaksa tolak kerana tidak mahu berada di set terlalu lama dengan situasi kini,” katanya.

neelofa
Neelofa teruja kerana terlibat dengan ibadah korban secara langsung tahun ini bersama asnaf dan anak yatim.

Sementara itu, menyentuh mengenai Pertubuhan Kasih Neelofa, Neelofa berkata, pihaknya menjalinkan kerjasama dengan RichWorks International untuk sumbangan ibadah korban sebanyak 151 ekor lembu yang akan diagihkan kepada asnaf dan fakir miskin.

Neelofa juga pulang ke kampung halamannya di Kelantan bagi terlibat secara langsung dengan ibadah korban dan akan melakukan agihan kepada ank yatim dan asnaf.

“Saya teruja kerana sebelum ini hanya menjalani ibadah korban dengan keluarga rapat, tapi kali ini saya terlibat secara langsung.

“Insya-ALLAH akan ada banyak lagi program di bawah Pertubuhan Kasih Neelofa selepas ini,” ujarnya.