MENDAPAT penjaga merangkap pengasuh yang melayan anak-anak seperti darah daging sendiri sememangnya menjadi dambaan setiap wanita yang bergelar seorang ibu. Bagi pelakon Datin Niena Baharun, ibu muda ini amat bersyukur apabila dikurniakan pengasuh anak-anak yang baik hati serta ikhlas bekerja.

Menerusi hantaran di TikTok, Niena berkongsi video perpisahan dengan pengasuh anak-anaknya yang telah berkhidmat selama beberapa bulan. Paling mengharukan apabila Niena menghadiahkan seutas gelang tangan emas sebagai hadiah kenang-kenangan. Hadiah itu juga sebagai tanda penghargaan Niena kepada penjaga anak-anaknya itu.

Bercerita detik permulaan bertemu dengan wanita yang menjadi pengasuh anak-anaknya, Niena menyatakan Asra Syafikah yang menawarkan diri untuk menjadi pengasuh kerana ingin meringankan beban keluarga.

Baca juga: Timang anak kedua, Niena Baharun selamat lahirkan bayi perempuan

“Awal tahun hari itu saya mencari penjaga merangkap pengasuh untuk menjaga anak-anak saya selepas pembantu rumah yang lama pulang ke kampung halamannya. Hendak tunggu pembantu rumah yang baru proses kemasukan dibekukan disebabkan Covid-19.

“Tapi satu hari itu, ALLAH temukan saya dengan insan bernama Asra Syafikah secara tidak sengaja. Dengan izin ALLAH, Asra yang menawarkan diri untuk bekerja sebagai pengasuh anak-anak saya,” cerita Niena.

Sebelum wanita itu memulakan tugasnya sebagai pengasuh, Niena beberapa kali bertanya tentang kesanggupan wanita itu untuk menjaga anak-anaknya. Bukan mudah hendak menjaga kanak-kanak terutama pada usia yang muda ditambah pula melibatkan kanak-kanak yang sedang aktif dan lasak.

“Jawapan dia memang suka kanak-kanak, dan dari sekolah dia sudah biasa menjaga adik-adik sebab adik-beradik dia ada lapan orang. Bila saya dengar ada lapan orang adik-beradik, ketika saya nampak keikhlasan di hati seorang anak dan kakak.

“Dia cakap, dia hendak kerja, hendak tolong ringankan beban mak dan ayah serta adik-beradik. Walaupun awak bekerja dengan saya hanya berapa bulan tapi saya berterima kasih dan sangat menghargai cara awak menjaga dan sayang anak-anak saya,” kata Niena.

Baca juga: Manjanya, jaga penuh kasih sayang. Anak menangis enggan pulang, rapat dengan pengasuh India raih pujian ramai

Dalam pada itu, pelakon drama Sayangku Kapten Mukhriz terharu dengan Asra yang sanggup mengorbankan masa mudanya demi mencari rezeki.

“Hadiah ini pun, tidak boleh menggantikan masa yang awak korbankan untuk menjaga kedua-dua anak saya. Dia bukan sahaja penjaga dan pengasuh anak-anak saya tetapi saya anggap dia seperti keluarga saya sendiri,” jelas Niena dalam nada terharu.

Walaupun hanya kenal dengan Asra selama beberapa bulan namun mereka kerap berkongsi kisah duka bersama. Setiap pertemuan pasti ada perpisahan namun Niena berharap agar perpisahan itu bukanlah satu pengakhiran.

Niena juga sempat berpesan kepada Asra supaya menjaga ibu bapa dan adik-adiknya serta tidak melupakan mereka sekeluarga.

Untuk rekod, Niena telah mendirikan rumah tangga pada 1 Februari 2018 bersama Datuk Aliff Firdaus Abdul Halim. Hasil perkahwinan tersebut, Niena dikurniakan dua orang anak iaitu Adiel Mikael, berusia empat tahun dan Alyssa Marissa, dua tahun.

Mencari pengasuh anak ini bukanlah kerja mudah yang boleh dipandang remeh. Tidak kira sama ada anda memilih pengasuh persendirian atau taska, ada beberapa kriteria yang mesti anda perhatikan.

Iklan

Baca juga: Pengasuh Adam Rayqal dihukum penjara enam tahun, berikut kronologi kes

Tip mencari penjaga atau pengasuh

1. Pergi melawat kawasan
– Sebelum menghantar anak, kita mestilah memantau kawasan tersebut dan melihat cara kerja pengasuh berkenaan.

2. Bertanya tentang kesanggupan pengasuh
– Beri tahu pengasuh yang anak anda perlukan perhatian terutama anak yang masih kecil.
– Elak pengasuh yang menjaga ramai bayi dan kanak-kanak dalam satu-satu masa.

3. Melihat keadaan rumah
– Perhatikan tahap kebersihan dalam rumah pengasuh. Anda tentu tidak mahu anak-anak anda dijaga oleh pengasuh yang pengotor.

4. Mengenal pasti jumlah isi rumah, ahli keluarga pengasuh atau pihak lain yang berada semasa pengasuh menjalankan kerja asuhan.

Iklan

5. Selidik latar belakang pengasuh
– Penting dilakukan bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini. Boleh cuba bertanya pada jiran-jiran atau mungkin rakan di tempat kerja yang turut menghantar anak kepada pengasuh yang sama.

Sumber: Tiktok nienabaharun.nb

Oleh: Norhasliza Mohd Shafi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi