BUKAN bergelar selebriti, jauh sekali menjadi personaliti televisyen, namun populariti Noor Nabila Mohd Noor tidak jauh beza dengan adiknya, Noor Neelofa.

Selepas bergelar isteri kepada selebriti dan kemudian berkahwin dengan seorang lagi figura yang juga dekat dengan dunia hiburan, membuatkan apa sahaja yang dilakukan wanita berusia 38 tahun itu menjadi perhatian ramai.

Buktinya, Nabila mempunyai lebih kurang 1.2 juta pengikut di akaun Instagramnya dan video hantaran di akaun TikTok pernah mencecah tiga  juta tontonan.

Di sebalik perhatian yang diberikan, Nabila mengakui ada ketikanya berasa kurang selesa, lebih-lebih lagi jika ramai pihak yang sering bertanyakan soalan berbentuk peribadi.

Namun, jujur kata beliau, pengalaman yang direntas dahulu membuatkan dirinya sudah lali dengan pelbagai kecaman yang kadangkala merobek jiwa.

“Ya, kadang-kadang ada juga rasa tak selesa tetapi Neelofa artis, Sharnaaz artis dan Jebat pun tak kurang dikenali ramai. Jadi, saya hormat seandainya ada yang nak tahu kehidupan saya.

“Cuma bila saya tidak berkongsi apa-apa, hormatilah keputusan saya. Dari satu sudut, saya tidaklah sampai tertekan dengan perhatian yang diberikan,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah Gold Rally Kucate di Colony @ Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

NOOR NABILA
Cantik dan berkarisma. Nabila merupakan individu penting di sebalik Naelofar dan Kucate.

Hubungan retak?

Dalam pada bercerita soal tersebut, media yang hadir terus bertanyakan tentang kehidupannya selepas berumah tangga dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin.

Bukan apa, ramai yang berasakan ‘sesuatu’ gara-gara empunya diri jarang sekali memuat naik foto bersama suami di laman sosial. Ada juga yang menelah hubungan pasangan tersebut berantakan!

Sebaik mendengar soalan itu diajukan, dengan nada penuh penegasan, wanita jelita itu berkata, biarpun jarang berkongsi gambar, ia sama sekali bukan kayu pengukur kebahagiaan mereka.

“Apa yang saya boleh katakan, setiap perkahwinan ada pasang dan surutnya. Dia macam ini, kalau dapat suami yang jenis suka berkongsi gambar atau apa-apa sahaja di media sosial, kita pun sama. Namun, bila suami pentingkan privasi, kita harus hormat.

“Bila sama-sama sudah lalui perkahwinan ketiga, kami lebih berhati-hati. Bagi saya, saya berpegang kepada ajal, jodoh, maut di tangan ALLAH SWT. Selagi ada jodoh kami, tak perlu teka mengenai perkahwinan kami. Pada masa sama, setiap perkahwinan itu ada cabarannya,” jelasnya meleraikan tanda tanya.

Iklan

Ditebak dengan penerimaan Engku Emran terhadap komen-komen nakal netizen, Nabila sempat tertawa kecil sambil berkata: “Dia jenis tak baca komen dan kami pun tak pernah duduk berbincang tentang apa yang orang kata.”

Sementara itu, mengulas mengenai hubungan bersama bekas isteri Engku Emran iaitu Erra Fazira yang juga ibu kepada anak tirinya, Engku Aleesya, Nabila berkata, mereka saling menghormati antara satu sama lain.

Pun demikian, kedua-duanya tidak pernah berhubung menerusi telefon, bermesej atau dengan cara yang lain.

“Saya tidak pernah berkomunikasi dengan Erra tetapi kami pernah berjumpa dua kali. Kami okey sahaja. Hubungan saya dengan Aleesya juga baik. Aleesya berada dalam fasa remaja, jadi tak banyak berkongsi. Saya memahami fasa (remaja) yang sedang dilaluinya,” ungkap beliau.

Iklan

Sementara itu, berkongsi penglibatannya dalam perniagaan berasaskan minum teh herba, Kucate, Nabila memberitahu, beliau mengguna pakai pengalaman mengendalikan label Naelofar dalam perniagaan baharu yang diasaskan oleh ibunya, Datin Noor Kartini Noor Mohammed.

Secara dasarnya, beliau membantu membangunkan bisnes yang baru sahaja berusia enam bulan itu.

“Idea Kucate ini daripada mama. Disebabkan saya ada pengalaman mengendalikan Naelofar, jadi saya guna pakainya dalam bisnes ini. Cuma saya bukannya penggerak perniagaan sebab bagi saya yang lebih hebat ialah adik saya (Mohd Aqief).

“Saya tolong mama di pejabat, Ameera bantu beri idea nak ambil video dan Neelofa pula tolong promosi,”  katanya.