PERKONGSIAN penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat untuk melahirkan anak menerusi kaedah pembedahan (c-section atau caesarean – diringkaskan kepada czer) dipersoal dan mendapat kecaman netizen.

Bagaimanapun, Ayda atau nama sebenarnya Suhada Jebat, 29, tidak melatah dengan komen yang ditinggalkan netizen.

“Pertama sekali, terima kasih di atas semua ucapan dan doa yang dikirimkan buat saya dan baby. Saya doakan yang terbaik buat anda semua juga! Amin.

“Saya baca ramai yang dm (direct message) dank omen menerusi beberapa portal, yang kata ‘Czer? Tak real la jadi ibu’; ‘Macam mana nak jadi ibu kalau kau beranak pun operate’; ‘Kalau operate confirm tak keluar susu, tak breastfeed kesian anak dia’; ‘Ikut tingkap ke? Malunya’ dan banyak lagi.

“Saya tak nak komen tentang perkara itu. Saya di sini untuk menyebarkan perkara positif.

“Untuk ibu-ibu yang yang pilih atau memang terpaksa ‘czer’ / operate atas faktor kesihatan dan keselamatan anda dan bayi, tolong jangan berasa takut dan tertekan.

“Ada yang terpaksa rahsiakan sebab malu digelakkan serta diperlekehkan oleh ibu-ibu yang beranak normal. Kenapa sampai jadi macam ini?” ujarnya.

Tambah isteri kepada Nabil Mahir itu, sama ada bersalin secara normal atau pembedahan, tujuannya adalah sama iaitu mahu anak selamat dilahirkan dan kedua-duanya berada dalam keadaan baik.

Iklan

“Normal atau czer, tujuannya sama iaitu nak anak dan ibu selamat serta sihat. Doa yang baik-baik, berhenti cakap perkara buruk. Kita perlu sokongan, bukan cemuhan.

“Keluar dari mana pun, breastfeed atau tak, takde stretch marks (selulit) atau tak, perut masa mengandung kecik atau besar, tolong ingat, anda seorang ibu. Ibu yang sejati, tak kisah macam mana sekali pun,” katanya.

Terdahulu, Ayda dan Nabil berkongsi mengenai jantina bayi mereka menerusi sidang video pada Jumaat.

Iklan

Ayda memberitahu, dia dijadualkan bersalin pada 8 Oktober nanti, namun disebabkan memilih untuk bersalin secara pembedahan, proses kelahiran akan dilakukan dua minggu lebih awal daripada tarikh jangkaan iaitu pada penghujung September.

BACA JUGA Ayda Jebat, Nabil Mahir Akhirnya Buka Rahsia – Umum Jantina Anak