TIDAK seperti kebanyakan bakat baharu yang ada sekarang, pelakon Noorkhiriah mengakui melalui proses uji bakat yang mencabar sebelum bergelar anak seni.

Mengimbau saat itu, Noorkhiriah, atau nama penuhnya Noorkhiriah Ahmad Shapie berkata, sebelum dikenali ramai, dia terlebih dahulu menghadiri uji bakat Artis Kebudayaan di Kuantan, sekitar tahun 1995.

“Saya tidak pandai menari, keras dan kaku pula tu. Menyanyi pun kelaut. Namun saya bernasib baik kerana ketika uji bakat itu, saya turut disuruh berlakon jadi orang gila.

“Kehadiran dan bakat saya diperhatikannya pihak juri, sebelum lulus uji bakat tersebut sehinggalah dapat menyertai Kompleks Budaya Negara di Kuala Lumpur yang kini dikenali sebagai Istana Budaya,” katanya.

Lebih manis, kata Wanita berusia 45 tahun itu lagi, salah seorang panel juri terbabit adalah pengarah dan pelakon terkenal, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar yang disifatkan banyak berjasa dalam perjalanan awalnya dalam bidang seni.

“Saya takkan melupakan jasanya yang membuka jalan untuk saya mencuba nasib dalam dunia seni.

“Malah saya pernah bekerja di bawah arahannya dalam sebuah telefilem pada tahun 1997, di mana saya menjadi anak kepadanya.

“Selepas itu, saya berlakon teater Rubiah di Istana Budaya yang juga diarahkan olehnya,” imbau Noorkhiriah.

Noorkhiriah teruja digandingkan bersama Fauziah Ahmad Daud dan Jalil Hamid dalam drama Ayahanda.

Terbaru, Noorkhiriah yang cukup dikenali sebagai ‘pelakon air mata’ itu mengakui teruja apabila sekali lagi berpeluang untuk bekerja dengan figura yang cukup dihormatinya itu menerusi drama Ayahanda.

Drama 13 episod arahan Tarmimi yang diterbitkan oleh Zeel Production itu bakal memulakan siaran di TV3 menerusi slot Lestary pada 10 Julai ini.

“Saya terbaru dapat peluang ini menerusi telefilem Ayahanda dan berasakan ia adalah pengalaman cukup berharga bekerja di bawah pengarah berkaliber sepertinya.

Iklan

“Saya yang tak pandai bab pengarahan ini pun jadi seronok tengok dia mengarah. Setiap gerak kamera di bawah arahannya ada maksud dan tak kosong.

“Memang teruja lain macam. Apatah lagi karya ini diangkat daripada novel terbaik dan kisah benar tulisan Allahyarham Azizi Abdullah,” ujarnya.

Menerusi naskhah tersebut juga, Noorkhiriah turut bergandingan dengan pelakon-pelakon hebat seperti Fauziah Ahmad Daud, Jalil Hamid Hairi Safuan, Shahz Jaszle dan Fikry Ibrahim.

Iklan

“Saya gementar berlakon dengan Kak Ogy pada mulanya. Pelakon filem Azura kot. Siapa tak gembira dan bangga.

“Namun Kak Ogy sangat positif dan gementar saya hilang selepas dia banyak mencurah ilmu dan pengalaman.

“Berlakon dengan Zeel Production ini juga memberi ‘vibes’ yang sangat menyeronokkan. Saya juga perlu bercakap dalam loghat Utara untuk drama ini dan banyak dibantu Hairi yang berasal dari Kedah,” katanya yang menjalani penggambaran drama tersebut selama dua minggu di Perlis.