BAHARU sahaja selesai mengadakan konsert sulung bersama isteri menerusi Konsert Syamel & Ernie Zakri: Aku Cinta baru-baru ini, penyanyi lelaki bersuara emas, Syamel kembali dengan single romantis, Bahagia Milik Kita.

Lagu yang pertama kali didendangkan ketika berlangsungnya konsert mereka, merupakan hasil ciptaan Syamel bersama penyanyi-penulis lagu berpengalaman, Yuka Kharisma, manakala diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment.

“Pertama sekali, saya dan Ernie ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pengunjung yang hadir memberikan sokongan sewaktu konsert sulung kami berdua.

“Idea di sebalik pembikinan lagu ini hadir dari cetusan rasa bahagia dengan adanya peneman hidup dan zuriat dalam hidup saya.

“Jikalau pendengar sedar, kebanyakkan lagu-lagu saya terdahulu semuanya bernada sedihdan sangat melankolik, dan Bahagia Milik Kita merupakan lagu pertama saya yang mempunyai unsur cinta serta kasih sayang.

“Maksud lagu ini pula mengenai pasangan kekasih yang sudah lama berkenalan dan sedang dalam perjalanan menuju ke destinasi bahagia yang merupakan kemuncak dalam perhubungan mereka iaitu alam perkahwinan,” terang bapa kepada puteri comel, Nur Khawla Soleha itu.

SYAMEL
Kehidupan yang dilalui kini sedikit sebanyak menyumbang kepada ilham dalam menghasilkan lagu.

Tambah Syamel, lagu itu juga akan menjadi sebahagian daripada material untuk album sulungnya yang akan dilancarkan pada tahun hadapan.

Proses rakaman single dari mula sehingga akhir mengambil masa kira-kira dua bulan untuk disempurnakan.

“Lagu terbaharu ini bersama-sama lagu lain yang bakal dimuatkan dalam album nanti dicipta ketika Ernie masih lagi dalam tempoh berpantang.

“Bayangkanlah ketika itu saya berulang-alik dari rumah ke tempat kerja dan kebanyakkan demo dilakukan di dalam kereta ketika dalam perjalanan sehinggalah Yuka yang menemukan lagu Bahagia Milik Kita ini,” jelasnya.

Iklan

Tanggungjawab baru

Dalam pada itu, Syamel berkata, peranan baharunya sebagai bapa banyak mengajarnya tentang erti tanggungjawab yang sebenar.

Kebahagian demi kebahagian yang dilaluinya sekarang, sedikit sebanyak mencetuskan idea dalam berkarya.

“Alhamdulillah ke atas Ilahi kerana dikurniakan anak, sebagai bapa, tanggungjawab saya bertambah, dan perubahan yang paling ketara adalah dalam apa jua perancangan yang dilakukan pasti melibatkan Khawla, justeru saya senang membahagiakan anak serta isteri,” tuturnya.

Iklan

Selain single, sebuah video muzik (MV) turut dihasilkan dan telah dilancarkan dengan konsep yang minimalis ibarat sebuah lirik video yang memaparkan emosi kegembiraan yang terpancar di wajah Syamel.

Lagu Bahagia Milik Kita boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman dalam talian popular seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Muzik video single ini boleh ditonton oleh peminat secara eksklusif hanya di saluran YouTube Rocketfuel Network.