Nubhan tak kisah dilabel tumpang populariti Nana
SETELAH beberapa kali bekerjasama dan berduet sebelum ini, penyanyi dan pelakon terkenal, Siti Nordiana tidak berfikir panjang memilih Nubhan sebagai gandingan duetnya dalam lagu Sekali Lagi.
Menurut Siti Nordiana atau lebih dikenali sebagai Nana, dia merasakan sudah tiba masanya untuk bergandingan dengan rakan yang dikenalinya sejak 10 tahun lalu.
“Kalau ikutkan saya dan Nubhan sering berduet sebelum saya menyertai program Gegar Vaganza (musim kedua) lagi.
“Malah kalau saya ada undangan persembahan, saya sering jemput Nubhan jadi rakan duet saya.
“Sejujurnya, dia memang pilihan pertama saya. Idea untuk tampil dengan lagu duet ini sudah lama, cuma kali ini saya dapat lagu yang bersesuaian dengan Nubhan.
“Kebetulan Nubhan pun dah lama tak keluarkan single, jadi saya rasa inilah masanya,” katanya ketika sesi sidang media secara maya baru-baru ini.
Bagi Nubhan atau nama penuhnya Ahmad Nubhan Ahamad, dia juga tidak berfikir panjang apabila ditawarkan berduet bersama Nana.
Selain faktor kawan baik dan mudah bekerjasama, pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia musim keenam itu juga merasakan Sekali Lagi adalah karya yang menarik.
“Saya suka melodi lagu ini kerana kena dengan jiwa saya. Selain itu, saya rasa alang-alang nak kembali bekerja, biarlah buat sesuatu yang seronok,” ujarnya.
Ditanya mengenai pandangan segelintir pihak yang mungkin merasakan Nubhan cuba menumpang populariti Nana sebelum kembali menempa nama dalam industri muzik tanah air, anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu mempunyai jawapan tersendiri.
“Saya tak kisah apa orang nak kata. Saya berada dalam industri atas dasar minat dan bukan sebab glamor atau popular.
“Setiap orang ada pandangan dan terpulang apa mereka ingin fikirkan.
“Apa yang penting saya tahu niat sebenar saya,” jelasnya yang merancang untuk tampil dengan single solo selepas ini.
Apa yang menarik mengenai lagu Sekali Lagi, kurang 24 jam dilancarkan di platform digital, lagu duet mereka mendaki carta teratas di iTunes.
Malah lagu ciptaan sepenuhnya Sepet dan Nana itu turut berada di kedudukan #13 iTunes Singapura dan #126 iTunes Indonesia.
Bukan itu sahaja, mini siri sebelum pelancaran muzik video rasmi mereka turut berada di carta trending YouTube Malaysia.
[embed]https://youtu.be/NsdxdNscSNQ[/embed]
Trademark baharu Nana
Dalam pada itu, ditanya mengenai pembikinan mini siri sebelum pelancaran muzik video sama seperti singlenya iaitu Angkara, Nana berkata, dia cuba tampil dengan trademark dalam berkarya.
“Macam mini siri ini, sebenarnya ramai peminat nak macam konsep video muzik Angkara.
“Disebabkan mereka sudah lama tidak menonton lakonan saya di kaca TV, jadi mereka buat permintaan supaya video muzik terbaharu ini dibuat dalam konsep sama.
“Bagi saya ia sesuatu yang menarik dan anggaplah ia sebagai sebahagian daripada trademark saya iaitu setiap kali ada lagu baharu, akan ada mini siri sebelum muzik video dilancarkan,” katanya.
Cuba menampilkan kelainan dari sisi kebiasaannya, menerusi mini siri dan video muzik Sekali Lagi itu, Nana bertindak selaku penulis skrip dan jalan cerita. Malah, Nana juga terbabit secara langsung ketika proses suntingan dilakukan.
“Kalau dulu saya hanya berlakon dalam video muzik. Tapi, untuk video muzik kali ini, saya adalah penulis skrip
“Walaupun pengarah orang lain iaitu Atmin Mazid, tapi dia akan bertanya kepada saya secara keseluruhan apa yang ingin disampaikan. Begitu juga ketika proses suntingan, mereka akan tanya saya.
“Pendek kata, untuk projek kali ini sangat istimewa. Saya berasakan ini satu lagi permulaan yang bagus dalam kerjaya saya. Dalam masa sama, dapat mempelajari perkara baharu terutama kerja di belakang tabir.
“Dalam video muzik ini juga saya melakonkan watak wanita yang menjengkelkan.
“Banyak momen yang dipaparkan membuatkan penonton akan berasa geram. Semua ini bagi disesuaikan dengan lirik yang dihasilkan,” ujarnya.
Sementara itu, berkongsi perkembangan dirinya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, Nana berkata, biarpun tidak terikat dengan sebarang persembahan, dia bersyukur kerana mempunyai sumber lain untuk menanggung keluarga.
“Alhamdulillah walaupun PKP tapi ada rezeki sebagai duta produk, IG (Instagram) review, video di YouTube dan juga perniagaan sendiri.
“Ada jugalah sumber untuk meneruskan kelangsungan hidup. Saya juga dalam proses untuk menubuhkan sebuah badan amal bagi membantu mereka yang memerlukan,” jelas Nana.
[embed]https://youtu.be/uAfdcdZTAxs[/embed]
[embed]https://youtu.be/8XsBVJ2ywbY[/embed]
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang