KRITIKAN demi kritikan yang diterima berkaitan nyanyiannya tidak sedikit pun mematahkan semangat Nabila Razali untuk meneruskan karier dalam bidang seni suara.

Bahkan dia menjadikan segala kritikan dan cemuhan netizen itu sebagai pembakar semangat untuk menjadi lebih baik.

Menurut Nabila atau nama penuhnya Nur Nabila Mohd Razali, 28, kesilapan dari sudut teknikal suara sememangnya biasa terjadi kepada seseorang penyanyi.

“Saya sedar dengan kritikan dan cemuhan itu tetapi ia bukan isu baharu. Saya anggap diri masih belajar.

“Saya tidak serik atau menjadikan kritikan sebagai alasan untuk meletakkan titik noktah dalam karier seni. Nyanyian adalah minat saya sejak dahulu lagi.

“Malah, saya sangat bangga dengan penghasilan single terbaharu, Peluang Kedua.

“Jadi saya pasti akan terus menyanyi dan memperbaiki kelemahan saya,” katanya pada sesi temu bual  menerusi sidang video bersama media untuk drama Kebaya Kasut Kanvas kelmarin.

NABILA RAZALI
Nabila tetap meletakkan bidang nyanyian sebagai keutamaan.

Tambah Nabila, memandangkan ada kekangan untuk membuat persembahan buat masa ini, dia menerima beberapa tawaran lakonan termasuk baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama Kebaya Kasut Kanvas.

“Walaupun nyanyian jadi keutamaan, tapi saya masih menerima tawaran berlakon. Selepas Kebaya Kasut Kanvas, saya akan memasuki set penggambaran drama Biar Mereka Cemburu pula.

“Selain itu, muzik video Peluang Kedua juga akan menemui peminat tidak lama lagi. Insya-ALLAH saya juga ada sebuah projek istimewa tetapi belum dapat berkongsi butirannya dengan semua,” jelasnya.

Drama 10 episod arahan Emi Suffian itu akan disiarkan di TV3  menerusi slot Drama Pukul 6 mulai 12 Ogos, setiap hari Rabu dan Khamis bermula jam 6 petang.

Iklan

Berkongsi pengalamannya berlakon dalam drama komedi romantik itu, Nabila berkata, mereka sepatutnya menjalani penggambaran pada bulan puasa lalu, namun tertangguh akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Penggambaran dalam normal baharu adalah pengalaman bermakna buat saya. Ketika awal-awal masuk set, hanya saya seorang tapi tak lama selepas itu barulah Fahrin (Ahmad) masuk set.

“Pada mulanya agak gemuruh dan berdebar sebab tak pernah bekerja dengan Fahrin, tetapi beliau banyak beri tunjuk ajar kepada saya dan lama-kelamaan saya jadi okey.

“Seronok berlakon dalam drama ini kerana ia memberi pengalaman baharu. Boleh dikatakan 90 peratus drama ini akan menyaksikan saya berkebaya dan berkasut kanvas.

Iklan

“Macam-macam jenis dan warna kebaya saya gayakan sepanjang drama ini,” katanya.

Selain Nabila dan Fahrin, drama tersebut turut dibintangi oleh Rozita Che Wan, Sean LJE, Dr. Say Shazril, Ikmal Amry, Ismail Izzani, Haqiem Rusli dan Azrel Ismail.

https://www.instagram.com/p/CDxre1YptuF/?utm_source=ig_web_copy_link