BIARPUN sudah sebulan berlalu, namun banjir besar yang melanda beberapa buah daerah di sekitar Selangor dan Pahang pada 18 Disember tahun lalu masih meninggalkan kesan buat mangsa yang terlibat.

Rata-rata daripada mangsa yang terlibat terpaksa membina kehidupan baharu kerana banyak kehilangan harta benda.

Bagaimanapun beban yang ditanggung itu bagai berkurangan apabila ramai pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan individu dan perseorangan terus mencurah bakti dengan menghulurkan bantuan.

Ini termasuklah Yayasan Metamorphosis bersama pasukannya dalam menjalankan Misi Jiwa Prihatin bagi membantu mangsa banjir.

Presiden Yayasan Metamorphosis, Datuk Aliff Zain berkata, meskipun pasukannya tiba agak terlewat menghantar bantuan disebabkan menjalani tempoh kuarantin selepas menjadi kontak rapat pesakit Covid-19, namun misi itu tetap diteruskan.

Datuk Aliff (tengah) berbual bersama suami penyanyi As Feminin, Azman Adnan yang juga bekas pemain skuad kebangsaan.

“Habis sahaja tempoh kuarantin, saya terus mempersiapkan pasukan untuk turun padang bagi menghulurkan bantuan.

“Dari segi dana, Yayasan Metamorphosis tidak kutip mana-mana sumbangan, ini hasil pendapatan perniagaan yang disalurkan kepada yayasan ini.

“Kami melawat bekas pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin di Banting, Selangor, kemudiannya ke rumah penyanyi Ezad Lazim di Kota Warisan, Sepang.

“Seterusnya, kami menjengah bekas pemain bola sepak negara, Azman Adnan dan isterinya, As Feminin; penyanyi otai, Yantzen dan pemain bass kumpulan Damasutra, Amran di sekitar Hulu Langat.

“Sepatutnya, kami singgah ke rumah pelawak, Ebby Yus di Hulu Langat, tetapi saya dimaklumkan beliau dimasukkan ke hospital.

“Misi Jiwa Prihatin ini turut menghulurkan bantuan kepada individu lain yang menjadi mangsa banjir, bukan hanya golongan selebriti,” katanya.

Yantzen turut menerima bantuan barangan elektrtik.

Tambah usahawan dari Pulau Pinang itu, pihaknya memperuntukkan antara RM500,000 hingga RM1 juta bagi ini dengan menyediakan sumbangan berbentuk wang ringgit, malah, pelbagai barangan elektrik seperti mesin basuh, peti ais dan katil.

“Ini termasuk juga keperluan asas seperti pinggang mangkuk, dapur dan sebagainya.

“Misi Jiwa Prihatin bermula ketika banjir besar di seluruh Malaysia pada 2014.

“Dan saya sendiri turun padang agak sedih dengan nasib menimpa mangsa banjir. Saya lihat mereka perlu memulakan kehidupan baharu, ada yang sehelai sepinggang, tak kira kaya atau miskin.

“Jadi dari situ, kami meneruskan Misi Jiwa Prihatin tahun demi tahun. Saya berharap lebih ramai rakyat Malaysia menghulurkan sumbangan membantu mangsa banjir bukan hanya kejadian tahun ini, tetapi juga pada masa akan datang,” ujarnya.

As Feminin bermula dari kosong

Sementara itu, As Feminin meluahkan rasa terharu dan berbesar hati dengan bantuan yang diberikan oleh Yayasan Metamorphosis.

As dan Azman melihat barang bantuan yang diberikan.

As yang juga isteri kepada bekas pemain bola sepak skuad kebangsaan, Azman Adnan berkata, dia tidak dapat menganggar jumlah kerugian, namun menyifatkan perlu memulakan kehidupan daripada kosong.

“Terima kasih, semoga Allah membalas jasanya membantu mengurangkan bebanan saya sekeluarga.

Iklan

“Saya tak boleh agak anggaran kerugian. Tetapi, apa yang boleh saya cakap kena bermula dari kosong semula. Bukan hanya semua barang elektrik rosak, malah, lantai pun pecah.

“Ia seperti membina rumah baharu. Satu rumah pula kena buat wiring semula,” ujarnya.

As atau nama sebenarnya Asfarina Muhamad, 47, turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang turut banyak membantu selepas banjir.

“Memang saya amat terkesan, tetapi, saya nak ucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sangat prihatin dan tidak berkira.

“Bila berlaku bencana ini, barulah saya nampak rakyat Malaysia sangat bersatu dan bermurah hati, tak kira apa bangsa dan agama. Saya memang respek pada masyarakat majmuk kita,” katanya.

Koleksi peribadi Ezad musnah

Dalam pada itu, penyanyi Ezad Lazim memberitahu, banyak barang koleksi peribadinya musnah dan rosak selepas banjir melanda kawasan rumahnya di Kota Warisan, Sepang.

Iklan
Ezad memaklumkan kejadian yang berlaku di rumahnya pertama kali berlaku.

Ujarnya, banjir yang melanda itu merupakan kejadian pertama pertama kali sejak berpindah ke lokasi berkenaan.

“Banyak barang koleksi peribadi musnah dan rosak. Saya memang suka simpan barang-barang yang ada nilai sentimental.

“Saya simpan koleksi CD dan VCD original dari penyanyi yang saya minat. Saya kumpul dari zaman muda.

“Ini termasuklah koleksi gambar saya dengan bekas kumpulan dan alatan muzik seperti gitar. Ada antaranya saya simpan dan tidak pernah guna.

“Namun, agak sedih alatan muzik milik arwah bapa tidak boleh diselamatkan. Walaupun banyak barang musnah, tetapi tidak mengapalah.

“Apa yang penting, nyawa. Alhamdulillah, isteri dan anak-anak berada dengan saya ketika banjir, jadi, tiada apa yang perlu dirisaukan sangat,” katanya.