PELAKON terkenal Korea, Song Yoo Jung dilaporkan meninggal dunia di rumah pada Isnin.

Menerusi laporan Soompi, Song yang berusia 26 tahun merupakan pelakon hebat dan sentiasa bersemangat dalam bidang lakonan.

Menurut media tempatan, kejadian itu disedari bapa pelakon setelah gagal menghubunginya dan membuat laporan polis untuk melihat keadaan anaknya berikutan dia tinggal berasingan dengan pelakon drama ‘Make Your Wish’ itu.

Hasil siasatan awal mendapati tidak sebarang luka atau cedera di anggota badan pelakon tersebut.

Mayat mendiang masih di Pusat Perubatan Gangnam sementara menunggu proses pengebumian dilakukan pada petang Isnin.

Berita kematian Song mengejutkan dunia hiburan Korea dan para peminatnya menangisi pemergian pelakon berbakat besar itu.

Dalam pada itu, gambar terakhir yang dimuat naik di akaun Instagramnya pada 30 Disember lalu kembali menjadi perhatian, lebih-lebih lagi gambar tersebut menyaksikan bintang itu tersenyum manis.

Iklan
Gambar terakhir yang dimuat naik Song di Instagram miliknya pada 30 Disember lalu.

Menjengah di ruang komen, para peminatnya melahirkan rasa sedih kehilangannya yang disifatkan seorang yang ceria.

Song memulakan kariernya sebagai model jenama kosmetik sebelum beralih ke bidang lakonan pada tahun 2013.

Iklan

Mula dikenali menerusi drama pertamanya ‘Make Your Wish’ pada tahun 2014 dan kemudian drama ‘School 2017’ serta drama ‘Dear My Name’ pada tahun 2019.

Malah, mendiang turut muncul sebagai pelakon utama dalam muzik video kumpulan K-Pop terkenal, iKON menerusi lagu Goodbye Road.