PELAKON popular era 1970an, Datuk Zulkafli Zain, 76, meninggal dunia akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk kegagalan buah pinggang di kediamannya, di Ukay Perdana, Hulu Klang, sekitar jam 7.30 malam, pada Sabtu.

Allahyarham yang juga bapa kepada pelakon dan penggiat teater terkenal, Dr. Norzizi Zulkifli, sebelum ini lumpuh separuh badan dan beberapa kali dimasukkan ke hospital kerana penyakit buah pinggang yang agak kritikal.

“Setiap hujung minggu saya memang akan datang ke rumah papa di sini. Jadi ketika papa menghembuskan nafas terakhir tadi, saya memang berada di sisinya.

“Petang tadi, ketika menyuap dia makan, papa tidak bercakap sangat dan banyak senyap. Dia hanya duduk diam di kerusi roda sahaja.

“Kali terakhir minta saya angkat dia ke katil untuk berehat. Ketika itu saya nampak pernafasan dia tidak macam biasa dan berbaincang dengan adik-beradik untuk membawanya ke hospital.

“Bagaimanapun ketika azan Maghrib, lebih kurang 7.30 malam, saya dapati dia sudah tiada.

“Memang saya tak sangka ini waktunya, tapi mujurlah saya ada bersamanya ketika ini kerana beberapa hari sebelum ini saya sibuk dengan rehearsal dan persembahan,” ujar Dr Norzizi.

Berkongsi permintaan terakhir Allahyarham, kata Dr. Norzizi, arwah bapanya ada memintanya memasakkan Mi Kari. Bagaimana pun hasrat tersebut tidak kesampaian.

“Beberapa hari lalu dia ada minta Mi Kari dan saya bercadang untuk masak pada minggu ini. Namun disebabkan masalah ketiadaan air yang berlaku, saya tidak sempat berbuat demikian.

“Bagaimanapun alhamdulillah semua anak-anak papa ada di sini, termasuk adik lelaki saya yang tinggal di Perlis, kebetulan  berada di Kuala Lumpur,” ujarnya.

Iklan

Dalam pada itu, anak sulung daripada lima beradik itu juga memohon kepada rakan-rakan dan orang ramai yang mengenali Allahyarham agar menghubungi keluarganya jika arwah bapanya ada berhutang.

“Jika papa ada berhutang dengan sesiapa, saya mohon mereka menghubungi keluarga kami untuk tujuan itu.

“Terima kasih kepada semua rakan-rakan artis, media dan kenalan terdekat atas ucapan takziah kepada kami sekeluarga.

“Kami sekeluarga merasakan kasih sayang dari seluruh rakyat Malaysia yang mengambil berat terhadap papa,” akhirinya.

Iklan

Sepanjang bergiat aktif dalam bidang lakonan, Allahyarham Zulkifli pernah membintangi lebih 15 buah filem termasuk Jiwa Remaja, Tiada Esok Bagimu, Sesejuk Air Mata Ibu, Matinya Seorang Patriot dan lain-lain.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, pelakon veteran, Datin Normala Omar, lima orang anak dan tujuh cucu.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah perkuburan Islam Ukay Perdana, selepas Zohor esok (Ahad).