DRAMA bersiri Hati Yang Dikhianati terbitan Astro Prima dan Global Station Sdn. Bhd. merupakan sebuah lagi naskhah adaptasi daripada telenovela popular Venezuela, My Three Sisters atau lebih dikenali dengan judul asal dalam bahasa Sepanyol iaitu Mis Tres Hermanas.

Telenovela itu pernah mencetuskan fenomena luar biasa ketika siri tersebut ditayangkan di Malaysia sekitar tahun 2002.

Naskhah Mis Tres Hermanas versi Malaysia ini diarahkan oleh Riza Baharuddin serta turut menampilkan barisan penulis skrip yang diketuai oleh Eenaz Mokhtar.

Tampil dengan format berbeza berbanding sebarang karya adaptasi yang pernah diterbitkan sebelum ini di platform Astro, buat julung kalinya struktur naratif penceritaan dan pembinaan watak naskhah ini bakal ditentukan berdasarkan konsep model interaktif terbuka atau ‘open-ended’ yang dipengaruhi oleh maklum balas audiens dan rekod jumlah tontonan dari semasa ke semasa.

Malah jumlah keseluruhan episod untuk drama adaptasi ini juga turut bergantung kepada penerimaan penonton.

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh, trend pembikinan drama dan kecenderungan audiens sering berubah mengikut peredaran masa.

“Sebelum ini, kami merupakan antara perintis awal yang mengangkat format adaptasi naskhah novel popular dan karya antarabangsa ke versi drama Melayu.

“Walaupun mengundang perdebatan hangat dalam kalangan peminat dan pembikin drama pada awal format tersebut diperkenalkan, namun ternyata keberkesanannya sudahpun terbukti menerusi puluhan drama yang telah kami terbitkan sebelum ini.

Iklan

“Terbaharu, kami memperkenalkan format interaktif ‘open-ended’ menerusi drama adaptasi Hati Yang Dikhianati di mana kami memberikan kuasa kepada netizen untuk menentukan plot twist dan kesudahan yang mereka mahukan untuk drama ini.

“Sesebuah watak boleh berkembang atau dimatikan mengikut kecenderungan audiens. Begitu juga dengan jalan penceritaan secara keseluruhan,” katanya.

Iklan

Barisan pelakon yang membintangi drama bersiri ini termasuklah Isyariana, Amar Baharin, Mona Allen, Zamarul Hisham, Che Puan Syamim Farid, Afifah Nasir, Arena Iman, Shah Iskandar, Mia Nasir, Fazlina Ahmad Daud, SahronizamNoor dan ramai lagi.

Drama Hati Yang Dikhianati bakal bersiaran menerusi slot Tiara secara eksklusif pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang (mulai 12 April lalu) di saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Antara babak menarik dalam Hati Yang Dikhianati.

Trivia menarik Hati Yang Dikhinati

  1. Audiens boleh mula menghantarkan sebarang idea, cadangan atau maklum balas untuk drama Hati Yang Dikhianati selepas dua minggu drama ini ditayangkan iaitu pada 23 April 2021 di platform rasmi Gempak.
  2. Perubahan naratif penceritaan dan plot twist serta pembinaan watak berdasarkan maklum balas audiens dan jumlah tontonan semasa akan mula disuntik pada episod 40 dan seterusnya.
  3. Amar Baharin yang memegang watak sebagai Zuhri Elyas atau Santiago dalam naskhah asal mengambil keputusan untuk ‘berpindah’ ke Perlis buat sementara waktu bersama keluarganya bagi memberikan sepenuh komitmen untuk menjayakan penggambaran drama ini.
  4. Sebelum ini, Amar Baharin juga pernah memegang watak utama dalam beberapa buah drama di slot Tiara, Astro Prima. Antaranya termasuklah Jodoh-Jodoh Annisa dan Akadku Terakhir.
  5. Semasa naskhah asal Mis Tres Hermanas disiarkan buat pertama kali di Malaysia sekitar tahun 2002, Amar Baharin masih lagi di bangku sekolah menengah.
  6. Pelakon berbakat kelahiran program realiti Akademi Fantasia, Isyariana yang memegang watak utama sebagai Lisa turut berpadu suara dengan penyanyi baharu, Dean Eiman bagi menjayakan lagu runut bunyi untuk drama ini. Lagu sama dalam versi asal berjudul Purest of Pain atau A Puro Dolor dinyanyikan oleh Son By Four.
  7. Penggambaran drama ini masih berjalan dan sehingga kini sudahpun mengambil masa lebih kurang 90 hari. Antara lokasi penggambaran yang terlibat termasuklah di sekitar Lembah Klang, Melaka dan Perlis.
  8. Selain itu, pihak produksi juga mengambil keputusan untuk mengubah lokasi penggambaran ke Perlis dan bergegas ke sana dalam masa 24 jam untuk mengelakkan sebarang kesulitan di lokasi. Ketika itu, lokasi asal di sekitar Kuala Lumpur telah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP) pada awal tahun yang lalu.
  9. Aspek keselamatan merupakan antara cabaran terbesar yang harus ditempuhi sepanjang pembikinan drama ini kerana terdapat banyak babak yang melibatkan kawasan pembinaan.