PEMBABITANNYA dalam industri hiburan tanah air bermula ketika menyertai pertandingan Bintang Kecil 2013 ketika baru berumur 9 tahun.

Selepas itu, rezeki Aqeesh Aleeya atau nama sebenarnya Nur Balqis Aleeya Shahrom lebih kepada bidang pengacaraan dan lakonan.

Setelah menjuarai pertandingan bakat dalam talian Bakat Ohsem Malaysia (BOM) 2017 anjuran hurr.tv ketika berusia 13 tahun, Aqeesh Aleeya mengeluarkan single sulungnya berjudul Aku Malu, ciptaan DJ Fuzz dan Hez Hazmi.

Pada bulan Mei lalu, Aqeesh Aleeya tampil dengan single kedua menerusi Kau Ada, sebuah lagu duet bersama Momo, salah seorang anggota kumpulan Unknown yang popular dengan lagu Jangan Marah (Baby Sayang).

Tidak terhenti di situ, Aqeesh kemudiannya menyertai program realiti nyanyian Terpaling Juara di TV3 sehingga menarik perhatian syarikat rakaman Nova Music untuk melamarnya dan tampil dengan single ketiga, Retak.

Lagu ciptaan komposer, Firdaus Rahmat manakala lirik lagu ditulis bersama Arisz Ab Rahman dan Firdaus Rahmat itu dipilih sebagai runut bunyi drama bersiri terbaharu, Rindu Kasih terbitan P&D Pictures Sdn Bhd.

Menurut Aqeesh, lagu bergenre balada itu mempunyai keunikan tersendiri, kena dengan diri selain berbeza daripada dua single sebelumnya.

Walaupun terpaksa menunggu lama untuk tampil dengan single baharu, penyanyi berusia 18 tahun itu tidak pernah merasa ralat dan putus asa.

Sebaliknya, pengalaman yang ditimba hasil daripada menyertai pertandingan nyanyian dijadikan ‘batu loncatan’ untuk terus memperbaiki diri.

“Saya sebenarnya sudah hampir 10 tahun berada dalam Industri ini. Saya bermula dengan pertandingan Bintang Kecil sewaktu masih berumur 9 tahun. Selepas itu banyak lagi pertandingan yang saya sertai dan dalam masa sama pernah mengacarakan sebuah program. Saya juga seorang pelakon drama dan filem.

“Biarpun agak lambat untuk berada pada tahap ini, bagi saya itu semuanya bergantung kepada usia dan juga rezeki. Macam single pertama dan kedua, saya keluarkan lagu yang bersesuaian dengan umur ketika itu iaitu genre rancak. Untuk umur sekarang ini, saya rasa dah sesuai untuk bawa lagu bergenre balada dan lagi berat.

Iklan

“Dalam masa sama, saya juga ada menyertai banyak pertandingan dan ada menang dan kalah. Bagi saya itu semua rezeki juga dan saya ambil itu sebagai penguat untuk terus bertahan dalam industri muzik,” katanya.

Saingan sihat

Ditanya mengenai persaingan dalam kalangan artis baharu ketika ini, Aqeesh Aleeya menyifatkan setiap penyanyi mempunyai kelebihan dan kekuatan masing-masing.

“Saya percaya semua artis dan penyanyi baharu mempunyai keistimewaan tersendiri. Jadi, saya tak berpegang sangat kepada konsep bersaing. Saya rasa kami semua nak memeriahkan lagi industri seni tanah air dengan cara masing-masing. Selain itu, semua bergantung kepada rezeki,” ujarnya.

Iklan

Pastinya, Aqeesh Aleeya menaruh harapan tinggi agar lagu Retak itu diterima baik.

Malah, dia berharap lagu yang menjadi OST drama di TV3 itu sedikit sebanyak dapat membantu lagu itu lebih dikenali.

“Harapan saya agar lagu ini dapat diterima oleh semua peringkat umur dan pendengar dapat memahami pengajaran yang ada di sebalik lagu Retak ini,” katanya mengakhiri perbualan.