Pencarian pelbagai bakat unik di Konsert Bakat Online @JKKN Sabah
PANDEMIK Covid-19 bukanlah penghalang kepada penggiat seni tanah air untuk terus menghasilkan karya meskipun mengambil pendekatan berbeza.
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah (JKKN Sabah) meneruskan usaha dalam menyemarak aktiviti seni dan budaya berkonsepkan norma baharu menerusi platform media sosial dengan pelbagai program secara atas talian.
Penganjuran Konsert Bakat Online@JKKN Sabah yang diadakan setiap Sabtu pada tahun 2020 telah mendapat sambutan yang sangat baik daripada para penggiat seni tempatan dengan menyerlahkan pelbagai bakat seperti tarian, muzik, nyanyian, deklamasi puisi dan lakonan.
Kesinambungan dari program ini, JKKN Sabah akan meneruskan Konsert Bakat Online@JKKN Sabah dengan pengisian yang lebih menarik berkonsepkan pertandingan pencungkilan pelbagai bakat yang unik dan kreatif.
Konsert Bakat Online @JKKN Sabah kali ini terbuka kepada seluruh lapisan masyarakat Malaysia yang mempunyai bakat unik dan kreatif untuk ditonjolkan kepada khalayak melalui platform media sosial JKKN Sabah.
Berkonsepkan pertandingan, rakaman video berdurasi sekitar 3 hingga 5 minit kiriman peserta akan dinilai oleh juri-juri yang telah dilantik oleh pihak JKKN Sabah bagi menentukan kelayakan ke peringkat seterusnya.
Rakaman video yang terpilih akan disiarkan dalam episod pertama sekitar bulan Mac 2021 menerusi laman Facebook Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah.
Proses penjurian bulanan pula melalui jumlah like terbanyak, para penonton boleh menyaksikan siaran tersebut menerusi saluran rasmi Youtube dan Facebook JKKN Sabah.
Pengumuman akan dibuat bagi peserta yang berjaya mara ke peringkat seterusnya. Program ini dijangka akan dilaksanakan bermula pada bulan Mac hingga November 2021.
Malam Kemuncak Konsert Bakat Online @JKKN Sabah adalah pada bulan November 2021.
Peserta yang berjaya sehingga ke peringkat akhir akan merebut gelaran Juara Bakat Online@JKKN Sabah dan akan memenangi wang tunai berjumlah RM3,000.00.
Penyertaan boleh dilakukan dengan menghantar rakaman video menerusi e-mail di jkknsabah@gmail.com atau Telegram di talian 011-65630188.
Tarikh tutup penyertaan peringkat saringan adalah sebelum atau pada 22 Februari 2021. Syarat-syarat dan borang penyertaan boleh didapati di Facebook JKKN Sabah
Insiatif ini diharap mampu menarik lebih ramai penyertaan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira faktor umur, jantina, mahu pun kaum dalam usaha pemantapan dan penghayatan jati diri bangsa menerusi semangat cintakan khazanah warisan negara.
Ia sekaligus dapat membuka ruang dan peluang untuk menghasilkan karya meskipun secara atas talian dalam pematuhan prosedur operasi standard dan kehidupan norma baharu.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang