Penceramah bebas direman lima hari siasatan kes rogol

Penceramah bebas ditahan reman
Penceramah bebas ditahan reman
A
A
A

SEORANG penceramah bebas yang juga bekas peserta program realiti pendakwah direman lima susulan dakwaan kes rogol tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, perintah reman dikeluarkan bermula hari ini sehingga Selasa depan untuk siasatan bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, lelaki terbabit ditahan selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada jam 11 malam tadi.

"Penahanan penceramah bebas itu dibuat susulan laporan polis yang dibuat mangsa pada jam 7.18 petang, kelmarin.

"Berdasarkan keterangan wanita berusia lingkungan 20-an itu, pada 11 September tahun lalu, dia telah keluar dengan suspek yang baru dikenali di laman sosial Instagram menaiki kereta suspek jenis BMW untuk berbincang mengenai masalah kemurungannya.

"Suspek telah membawa mangsa makan di kedai makan di Shah Alam sebelum dibawa ke rumahnya di Seksyen 7, Shah Alam dengan alasan untuk memberikan penerangan bagaimana boleh keluar daripada penyakit kemurungan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun, semasa di rumah itu, mangsa dikatakan telah dirogol.

Katanya, suspek kemudian telah memberi amaran agar merahsiakan kejadian itu sebelum mangsa pulang ke rumahnya di Subang Jaya menaiki kenderaan e-hailing, pada keesokan paginya.

Susulan itu, selang beberapa hari, mangsa telah dimasukkan ke Hospital Kajang kerana mengalami tekanan perasaan yang teruk serta dirujuk ke rawatan psikiatri dan perlu rawatan susulan.

"Pada Oktober tahun lalu, mangsa telah balik ke rumah keluarganya di Triang Pahang, serta telah mendapat rawatan semula di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh dan telah ditahan di wad psikiatri selama lima hari.

"Pihak Hospital Temerloh telah mengatakan mangsa telah mengalami tekanan perasaan yang teruk serta trauma akibat kejadian tersebut," katanya.

Tambahnya, mangsa kini juga dilaporkan masih menerima rawatan susulan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

Terdahulu, tular apabila seorang pemilik akaun Twitter mendakwa pendakwah terbabit merogol seorang gadis dan pemilik akaun berkenaan mendakwa rakannya mengalami trauma akibat menjadi mangsa rogol.

 

(TEKS: Muhammad Afham Ramli)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca