PENULARAN wabak pandemik Covid-19 di Malaysia sejak tahun lalu memberi kesan mendalam terhadap ramai rakyat Malaysia.

Tidak ketinggalan turut merasai kesannya adalah selebriti tempatan apabila banyak tawaran terpaksa dibatalkan atau ditunda menyebabkan pendapatan terjejas.

Salah seorang yang melalui situasi berkenaan adalah penyanyi dan pelakon, Hazama Azmi.

Menurut Hazama, 37, disebabkan kekangan untuk bekerja setelah pandemik melanda, dia mengambil inisiatif menceburi perniagaan makanan.

Katanya, perniagaan asam laksa yang dimulakan sejak tahun lalu itu sedikit sebanyak membantunya menampung perbelanjaan.

“Tidak dinafikan sejak Covid-19 melanda Malaysia dan Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, banyak tawaran terpaksa dibatalkan dan ditunda.

“Kerja dalam bidang muzik juga sangat terhad dan saya memilih untuk fokus dalam bidang lakonan. Tetapi dengan situasi sekarang, kerja lakonan pun terpaksa dihentikan.

“Atas faktor itu mendorong saya mencari alternatif untuk menjana sumber pendapatan lain dengan menjual laksa sejak tahun lepas,” katanya ketika ditemui media pada sesi sidang media Sumbang Suara yang diadakan secara maya Ahad lalu.

Hazama mengusahakan perniagaan asam laksa itu bersama isterinya yang juga pemuzik, Genervie Kam.

Tambah Hazama, dia bersyukur apabila perniagaannya itu mendapat sambutan, lebih-lebih lagi setelah ia dijual menerusi platform e-dagang, Shopee.

“Alhamdulillah sejak dijual melalui Shopee, saya dapat luaskan penjualan ke seluruh negara berbanding sebelum ini jual kepada mereka yang berdekatan.

Iklan

“Bagaimanapun saya berhasrat memperbaiki mutu produk dan belajar bagaimana menambah baik produk makanan itu supaya tahan lebih lama,” ujarnya.

Berkongsi perkembangan terbaharunya,Hazama bersama penyanyi rock terkenal, Datuk Awie menjadi juri dalam dalam program Sumbang Suara yang ditayangkan di TV3 bermula Ahad lalu.

“Program ini berbeza daripada program nyanyian lain kerana ia mengetengahkan mereka yang tidak mempunyai bakat dalam nyanyian tetapi kreatif serta mempunyai keyakinan tinggi untuk membuat persembahan.

Iklan

“Saya dan Datuk Awie bergelar wakil netizen atau dalam kata lain sebagai juri. Uniknya, kami tak mengadili suara peserta tetapi keyakinan dan persembahan yang baik. Bagaimanapun siapa yang bersuara paling sumbang, dia pemenangnya.

“Saya berharap dapat melihat persembahan secara siaran langsung dan bukannya menerusi rakaman video seperti sekarang sebab saya rasa dapat berinteraksi lebih dekat dan secara langsung dengan peserta,” katanya.

Program Sumbang Suara yang dihoskan oleh Elly Mazlein, merupakan rancangan hiburan terbaharu di TV3, bersiaran setiap hari Ahad, jam 10.30 malam dan live strim di www.tonton.com.my.