Pendirian Diana Danielle, kerjaya dan keluarga sentiasa seiringan
LEBIH dua dekad membina kerjaya dalam industri seni, pelakon jelita Diana Danielle semakin memahami apa yang dimahukan dalam setiap naskhah melibatkan dirinya.
Meski sentiasa terlihat sederhana dalam apa-apa pun yang dilakukan, pemilik nama sebenar Diana Danielle Danny Beeson ini sentiasa tahu apa yang dilakukan, terutama dalam pemilihan karya ingin dikerjakan.
Atas pinsip itu, ada ketika beliau terpaksa menolak tawaran tertentu yang dirasakan tidak dapat memberi nilai tambah kepada kualiti lakonannya.
“Sebagai seorang pelakon, pastinya saya mahu sentiasa menampilkan sesuatu yang lebih segar dan berbeza buat penonton.
“Saya mahukan lakonan yang boleh memberi impak kepada tontonan dan pastinya pemilihan karya juga turut membantu serta menyokong kepada tujuan itu.
“Jadi sebagai pelakon, kita kena pilih naskhah yang mampu memberikan impak bukan sahaja untuk kita tetapi juga khalayak penonton,” ujarnya kepada SinarPlus.
Perihal itu turut dibuktikan anak kelahiran Houston, Texas, Amerika Syarikat menerusi watak Nur dalam filem terbaharu lakonannya, Imaginur yang kini sedang hangat mendapat sambutan di pawagam seluruh tanah air.
Filem arahan Nik Amir Mustapha itu sebelum ini turut tercalon bersama beberapa buah lagi filem Asia lain pada acara Festival Filem Asia New York 2022 pada Ogos lalu.
“Watak Nur itu sangat istimewa dan naskhah Imaginur sendiri mengetengahkan idea yang sangat unik dalam menyampaikan cerita. Saya bangga dan dalam masa sama seronok apabila penonton memberikan maklum balas yang cukup positif untuk filem ini.
“Imaginur hanyalah filem kecil dan bukanlah sebuah karya yang dibikin dengan bajet boxoffice. Namun saya bersyukur apabila usaha kami dihargai penonton dengan cara tersendiri di mana mereka berkongsi tentang keindahan filem menerusi cerita mulut ke mulut, sekali gus membantu menarik lebih ramai orang menonton naskhah ini,” katanya.
Diana yang turut mengadakan sesi menonton filem tersebut secara eksklusif bersama peminat mengakui sokongan padu yang diberikan khalayak penonton banyak memberikannya semangat untuk terus tampil dengan lakonan serta karya berkualiti pada masa akan datang.
Umrah
Dalam perkembangan lain, wanita 32 tahun itu baru sahaja pulang daripada mengerjakan ibadah umrah di Tanah Suci bersama suami, Farid Kamil.
Tidak seperti kebanyakan individu lain yang dilihat cenderung berkongsi momen tersebut di media sosial, beliau memilih pendekatan sebaliknya.
Diana yang cukup dikenali dengan sikap merendah diri itu mempunyai alasan tersendiri berbuat demikian meski turut berbalut perasaan teruja saat merasai pengalaman pertama kalinya itu.
“Alhamdulillah saya berpeluang untuk mengerjakan ibadah umrah dan pengalaman pertama kali itu sangat mengujakan. Bagaimanapun saya memilih untuk tidak berkongsi momen di sana kerana tidak mahu niat lari disebabkan perkara itu.
“Saya tidak mahu terganggu dengan komen-komen mereka di luar sana tentang apa yang mereka rasa atau nampak tentang perkongsian saya sepanjang berada di Tanah Suci. Saya tahu kelemahan diri sendiri yang suka baca komen. Jadi baik saya elakkan.
“Saya berada di sana selama 12 hari dan sepanjang tempoh itu saya mahu tumpukan pada ibadah. Tidak mahu buang masa dengan melihat telefon.
"Saya ada ambil gambar, tetapi saya tidak kongsi kerana ia hanya untuk memori keluarga dan diri sendiri sahaja,” katanya yang ditemui pada acara Pertunjukan fesyen Rizman Ruzaini Fall Winter 2023 & Raya 2023 di Hotel St Regis baru-baru ini.
Berkongsi persediaannya menyambut Ramadan yang bakal menjelma tidak lama lagi, ibu kepada dua cahaya mata, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8, itu mengakui teruja menantikan bulan mulia itu.
Banyak perancangan dilakukan untuk keluarganya termasuk berekat seketika daripada kerja seni bagi memberi tumpuan kepada aktiviti bersama suami dan anak-anak.
“Tahun ini saya tidak mengambil tawaran kerja pada bulan Ramadan kerana sudah buat perancangan sendiri bersama keluarga.
“Antaranya saya mahu tumpukan kepada aktiviti memasak juadah berbuka puasa bersama anak-anak.
"Ramadan bukan sahaja tentang puasa, tetapi merangkumi pelbagai perkara lain. Jadi saya mahu latih anak-anak untuk menyediakan dan beri makanan kepada orang yang berpuasa,” katanya yang kini sedang mengumpulkan pelbagai menu istimewa.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang