Pengabdi Setan 2 lebih menyeramkan

PENGABDI SETAN 2
PENGABDI SETAN 2
A
A
A

KEJAYAAN filem Pengabdi Setan pada tahun 2017 mendorong RAPI Films menerusi pengarahnya, Joko Anwar menghasilkan sekuel Pengabdi Setan 2: Communion.

Masih mengekalkan kebanyakan pelakon daripada filem pertama seperti Tara Basro, Bront Palarae, Endy Arfian, Ayu Laksmi dan Muhammad Adhiyat, sekuel ini turut membawakan muka baharu iaitu Jourdy Pranata serta Ratu Felisha.

PENGABDI SETAN 2 Nasar Annuz (kiri), Tara Basro, (tengah) dan Endy Arfian masih berjaya mengekalkan momentum watak tiga beradik yang kematian ibu dan kehilangan adik bongsu mereka dengan baik.

Naskhah kali ini mengambil tempat beberapa tahun selepas kejadian mistik dan misteri yang melanda keluarga Bahri Suwono sehingga membuatkan tiga anaknya, Rini, Toni dan Bondi kehilangan ibu dan adik bongsu mereka, Ian.

Mereka kemudiannya berpindah ke sebuah flat dan menyangkakan lebih selamat apabila mempunyai ramai jiran tetangga.

Ternyata musibah sama berulang dan mereka harus menyelamatkan diri sekali lagi, namun mungkin ia sudah terlambat.

PENGABDI SETAN 2Filem ini juga membawa mesej untuk kita saling mengenali jiran tetangga biarpun pada penghujung hayat mereka.

Penulis pernah menonton filem pertama dan ia membuatkan rasa teruja untuk menonton sambungan Pengabdi Setan.

Pada pandangan penulis, Joko berjaya mengekalkan mood seram filem ini seawal minit pertama dan ia konsisten sehingga ke penghujung jalan cerita.

Jika sebelum ini kejutan dan mood seram itu berpaksikan watak Mawarni atau ibu dan rumah mereka, kali ini segala-gala tentang Pengabdi Setan 2 adalah seram.

PENGABDI SETAN 2Babak seperti ini pun sudah cukup membuatkan penonton meremang bulu roma.

Cuma bagi memastikan penonton tidak terlalu tertekan atau diselubungi ketakutan, Joko mengambil keputusan untuk menyelitkan beberapa babak komedi.

Secara peribadi bagi penulis, babak komedi itu sedikit sebanyak merencatkan mood seram, namun ia tidaklah sehingga mengganggu tontonan. Bagi segelintir penonton, babak itu mungkin akan meredakan rasa ketakutan yang disumbat secara back to back dalam filem ini.

Perjalanan Pengabdi Setan 2 dimantapkan lagi dengan lakonan ke semua pelakon yang terlibat, baik untuk watak kecil mahupun besar.

PENGABDI SETAN 2Walaupun hanya muncul untuk beberapa babak, namun Bront cukup cemerlang dalam Pengabdi Setan 2.

Cuma penulis mengharapkan dapat melihat lebih banyak babak melibatkan Bront di dalam filem ini.

Hanya satu perkara yang mengganggu perhatian penulis adalah bila Joko mahu meleraikan dua persoalan utama iaitu siapakah Rominom dan dua individu yang muncul baik di penghujung filem pertama dan kedua.

Mungkin ia strategi Joko untuk memastikan penonton akan ternanti-nantikan sambungan Pengabdi Setan (jika ada) selepas ini

Bagi penulis, jika anda pernah menonton yang pertama, pastikan menonton yang kedua. Tetapi jika anda belum pernah menonton yang pertama, jangan bimbang kerana anda masih boleh memahami jalan cerita filem ini.

Pengabdi Setan 2: Communion

Pengarah: Joko Anwar

Pelakon: Tara Basro, Bront Palarae, Jourdy Pranata, Endy Arfian

Genre: Seram

Durasi: 1 jam 59 minit

Klasifikasi: 18

Tayangan: 11 Ogos 2022

Keseluruhan : 4/5

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca