GEMBIRA namun pada  masa yang sama  sayu, itu yang dirasai oleh Nikki Palikat saat mula mendengarkan lagu Sudah buat kali pertama.

Lagu yang membawa seribu satu cerita itu begitu indah untuk dihayati dan turut menjentik emosinya.

Sepatutnya Sudah ciptaan sepenuhnya Naim Daniel dinyanyikan oleh Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, namun impian itu tidak menjadi kenyataan apabila isteri Shuib itu pergi buat selamanya 9 Ogos tahun lalu.

Setelah beberapa nama  menjadi sebutan, naib juara Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) itu dipersetujui ramai untuk menggalas impian arwah Sarah yang mahu membawa lagu tersebut ke Anugerah Juara Lagu.

“Satu penghormatan buat saya apabila dapat menyanyikan lagu ini.

“Ada sesuatu yang menarik perhatian tentang Sudah tatkala mendengarkan melodi dan bait-bait lirik yang menusuk ke dalam hati.

“Sebab itu saya tidak mengambil masa yang lama untuk bersetuju terlibat sama dalam projek ini. Terima kasih kepada semua yang percaya kepada saya untuk membawa lagu Sudah,” kata Nikki.

Tambahnya lagi, dia sudah pun menerima demo lagu itu ketika masih bersaing dalam GV8. Namun, dek berapa kekangan termasuklah soal kesihatan yang mengganggu sebaik sahaja program itu berakhir, lagu tersebut tidak sempat disiapkan lebih awal seperti dijangka.

Menganggap Sudah begitu istimewa, Nikki bersyukur kerana dapat memberikan yang terbaik usai proses rakaman sehinggalah pembikinan video muzik (MV) dilangsaikan sepenuhnya bulan lalu.

“Apabila mendapat demo lagu ini, saya cuba sedaya upaya mengkaji apa yang perlu dilakukan untuk memberikan yang terbaik. Saya mahu menjadikan lagu ini diterima ramai dan juga memberikan keselesaan kepada saya untuk menyanyi.

“Satu lagi yang istimewanya tentang  Sudah apabila liriknya begitu menangkap dan membuatkan sesiapa sahaja merasai apa cuba disampaikan,” jelasnya.

Berkongsi mengenai proses pembikinan MV pula, ada ketika penggambaran terpaksa dihentikan apabila Nikki mula menangis.

Jelasnya, perkara berkenaan berlaku secara spontan apabila bait-bait lirik sangat menusuk ke hati dan membuatkan air matanya mengalir.

“Lirik pada bahagian korus itu sangat menusuk ke dalam hati. Tak tahu mengapa, tiba-tiba sahaja saya berasakan perkara itu.

“Apabila kita faham dengan apa yang dimaksudkan, itu juga menjadi sebab mengapa saya menangis ketika penggambaran berlangsung,” katanya.

Kehilangan

Bercerita mengenai Siti Sarah pula, Nikki akan sentiasa menghormati dan mengenang segala kebaikan Allahyarham selama mereka mengenali antara satu sama lain.

“Dahulu kami sering bertemu dalam beberapa persembahan nyanyian. Saya kagum dengan bakat yang dimiliki olehnya. Sarah kaya dengan pelbagai teknik nyanyian dan itu juga menjadi kelebihannya.

“Sudah pasti kehilangannya memberikan kesan bukan sahaja kepada saya tetapi juga kepada seluruh industri,” ujarnya yang sesekali dilihat sebak.