BERADA dalam industri seni bukan satu jaminan akan kekal selamanya berada di puncak populariti.

Menyedari pasaran seni ada turun dan naiknya, aktor Saharul Ridzwan mengambil langkah proaktif untuk mencari sandaran lain bagi menjana pendapatan untuk satu jangka masa panjang.

Menurut Saharul atau nama penuhnya Mohd Saharul Ridzwan Hashim, biarpun pernah menjual beberapa produk berasaskan makanan, semua itu dilakukan tanpa ilmu dan akhirnya menemui kegagalan.

Justeru selepas 10 tahun menjadi anak seni dan bergelar duta kepada beberapa produk, selebriti berusia 32 tahun itu menggali ilmu perniagaan sebelum menghasil dan memasarkan produk aromatic, Ode Scents.

Perniagaan kali ini dijalankan dengan bimbingan rakan kongsi, Nadzir Samsuddin yang mempunyai pengalaman dalam perniagaan haruman.

“Tidak dinafikan antara faktor yang mendorong saya untuk menceburi bidang perniagaan disebabkan tawaran lakonan yang mula berkurangan.

“Betul orang kata walaupun berkahwin dan ada anak, ada rezekinya. Tetapi rezeki itu mungkin bukan dalam bidang lakonan.

“Bila dapat tahu nama saya ditolak stesen televisyen, saya terfikir, sampai bila saya berpeluang berlakon sebagai watak utama.

“Suatu hari nanti mungkin saya akan ditawarkan dengan watak sampingan sahaja dan macam mana saya nak tanggung keluarga.

“Selain itu, situasi yang berlaku kepada pelakon veteran kini, ditawarkan bayaran murah untuk sesuatu watak mendorong saya untuk mencari pendapatan lain bagi jangka masa panjang.

“Walaupun saya pernah berniaga sebelum ini, semua itu dilakukan tanpa ilmu. Jadi perlahan-lahan saya cari ilmu itu dan dengan bantuan serta dorongan rakan kongsi, maka terhasillah Ode Scents ini,” ujarnya ketika sidang media secara virtual pada Jumaat lalu.

Produk wangian Ode Scents ini dikeluarkan oleh syarikat Pack Houz Sdn. Bhd. dengan lima jenis wangian serta dijual dengan harga RM15 sebotol.

 Nadzir Samsuddin (kanan) bukan hanya menjadi rakan kongsi, tetapi membimbing Saharul memulakan perniagaan.

Kata Saharul, walaupun bergelar selebriti, ia bukan jaminan buatnya dalam memasarkan produk sendiri.

Bukan itu sahaja, dia juga menolak untuk meletakkan namanya sebagai jenama produk demi memastikan produk tersebut berada lama dalam pasaran.

“Ketika mula-mula produk ini dikeluarkan, saya sanggup gantung banner di leher dan cuba jual produk ini di tepi jalan di Kajang. Mungkin ada yang perasan, dia tanya adakah saya tak berlakon lagi. Bagi saya, walaupun saya selebriti, ia bukan satu tiket express buat saya.

Iklan

“Saya juga elak untuk letak nama saya sebagai jenama produk dan lakukan gimik kerana saya mahu produk ini berada dalam dunia perniagaan sebenar untuk jangka masa panjang.

“Bagi kami, apa yang lebih penting untuk memulakan perniagaan itu perlu mempunyai pasukan pemasaran yang kuat dań mempromosikan produk,” ujarnya yang mengeluarkan modal sebanyak RM250,000 bersama rakan kongsinya itu sebagai kos permulaan.

Saharul turut mendapat sokongan padu daripada isteri, Qaabila Deena Emir Mohammed Akif Emir untuk memulakan perniagaan berasaskan aromatic, Ode Scents.

Tak mungkin berundur

Ditanya adakah dia bersedia untuk berundur daripada industri seni sekiranya Ode Scents berjaya di pasaran, Saharul berkata, dia tidak mungkin berbuat demikian.

Iklan

Menjadikan Shuib dan Datuk Rosyam Nor sebagai idola dunia perniagaan, Saharul berkata, dia akan membahagikan masa dan kerjaya itu sebaik mungkin.

“Mana mungkin saya tinggalkan dunia seni yang menjadi minat saya. Saya kumpul harta, berkahwin hasil duit saya bekerja dalam industri.

“Insya-ALLAH saya akan bahagikan masa sebaiknya dan akan berada dalam industri selagi diperlukan,” jelasnya.

Berkongsi perkembangan terbaharunya, Saharul berkata, dia akan terlibat dengan penggambaran sebuah drama bersama pengarah, Pali Yahya tidak lama lagi.

“Kalau tak kerana Perintah Kawalan Pergerakan jadual saya sudah penuh sehingga selepas Aidilfitri. Tetapi selepas aktiviti penggambaran dibenarkan semula selepas ini, saya tak pasti lagi bagaimana penyusunan jadual,” katanya.