BERIKUTAN sambutan hangat dan maklum balas positif yang diterima daripada para penonton, tayangan drama bersiri Perempuan Tanpa Dosa (PTD) kini disambung selama seminggu menerusi pertambahan empat buah episod baharu yang akan berakhir pada 30 November ini.

Mengikut perancangan awal, drama arahan sutradara Michael Ang ini sepatutnya berakhir di episod 28 pada 23 November yang lalu. Namun, dengan pertambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan adalah sebanyak 32 buah episod.

Drama terbitan produksi Juita Viden itu menyaksikan gandingan pelakon Kamal Adli, Uqasha Senrose, Uyaina Arshad, Zac Zaky, Yusuf Bahrain, Hilal Azman, Azza Elite, Shaza Bae serta ramai lagi.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Kamal, pihaknya gembiran dan berbesar hati dengan sambutan positif untuk PTD di slot Megadrama.

“Sejak mula ditayangkan, drama ini ternyata berjaya membawa penonton untuk bergelumang dengan mainan emosi menerusi plot penceritaan dan lakonan mantap barisan pelakon yang meninggalkan kesan kepada penonton.

Iklan

“Oleh itu, sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kami hadiahkan empat episod tambahan kepada para peminat yang pastinya tertanya-tanya apakah pengakhiran kisah cinta tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, bagi anda yang keliru, pihak Astro telah mengira episod pertama dan kedua yang disiarkan serentak sebagai satu episod dan episod akhir sebenarnya adalah pada 30 November ini.

Iklan

PTD disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10 malam mulai 6 Oktober 2020 menerusi slot Megadrama secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.