TUGAS sebagai penyampai radio Zayan Fm tidak menghalang Mohammad Azhar Hilmi Mohamad Fadzil atau lebih dikenali sebagai Azhar Hilmi, 28, berkhidmat secara sukarela bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Cerita Azhar, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu, dia mengambil inisiatif membantu APM menjaga pusat kuarantin dan juga membantu frontliner dalam membendung penularan wabak pandemik Covid-19.

“Saya sudah lama bersama APM dan berkhidmat secara sukarelawan atau anggota bersekutu. Jadi apabila dimaklumkan pihak APM perlukan bantuan, saya tidak fikir panjang untuk berkhidmat secara sukarela sepanjang tempoh PKP hingga PKPB.

“Antara tugas-tugas saya ketika itu ialah membantu frontliner, menjaga pusat kuarantin, kemudian mengiringi mana-mana individu atau kumpulan yang baru pulang dari luar negara ke pusat kuarantin.

“Bukan itu sahaja, ada ketika kami akan membantu mengedarkan makanan kepada frontliner yang bertugas,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Azhar, biarpun berdepan dengan risiko, dia tetap puas kerana dapat berbakti kepada masyarakat.

“Saya sedar dengan risiko yang perlu dihadapi, tapi saya seronok dapat berbakti dalam tempoh yang mencabar.

“Walaupun tidak dibayar gaji atau elaun, ada kepuasan buat saya kerana dapat menyumbang sesuatu dalam tempoh getir itu.

Iklan

“Lebih manis apabila usaha saya dihargai APM dan diwatikahkan sebagai Kapten Bersekutu APM bagi Cdert Ohhsem Network Wilayah Persekutuan Putrajaya di Majlis Pemakaian Pangkat & Penyampaian Watikah Pelantikan Pegawai Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia bulan lalu,” jelasnya.

Azhar berkata, sokongan daripada majikan juga menjadi antara pendorong semangat buatnya untuk berbakti pada negara.

“Sepanjang tempoh PKP hingga PKPB yang lalu, pihak Zayan memberi pelepasan kepada kami untuk bersiaran dari rumah.

Iklan

“Saya pula mengendalikan slot Zayan Valet bermula 3 petang hingga 7 malam. Jadi banyak masa senggang sebelum dan selepas bersiaran.

“Masa senggang itulah saya gunakan untuk membantu dan berkhidmat dengan APM. Dalam masa sama, bila saya terlibat secara langsung dengan APM, saya dapat menyampaikan info tepat kepada pendengar,” katanya yang akan terus berkhidmat bersama APM selepas ini.