NAMA Datin Ira Ghani dalam industri seni barangkali agak asing buat generasi muda, namun wanita berusia 47 tahun ini sudah lama berkecimpung dalam industri seni.

Pernah mengendalikan program Feminin di TV1 dan membintangi beberapa drama terkini seperti Gerak Khas, 7 hari Mencintaiku dan Menantu Ting Tong, Ira Ghani juga merupakan usahawan berjaya menerusi produk berasaskan aroma terapi, Aura Seri atau kini dikenali sebagai Aura Seri by DIG.

Berkongsi perkembangan terbaharunya, Ira atau nama sebenarnya Nor Zaina Abd Ghani berkata, setelah lima tahun berehat daripada industri seni dan memberi fokus kepada dunia perniagaan, dia meluahkan rasa terharu dengan sokongan rakan selebriti apabila mengumumkan untuk kembali aktif.

“Saya dapat banyak kata-kata positif daripada rakan-rakan seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Awie, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Rosyam Nor, Shiha Zikir, Zizan Razak dan ramai lagi.

“Tak sangka masih ramai kawan yang ingat dan menyokong saya. Bukan itu sahaja, sejak penerbit tahu saya kembali aktif berlakon, ramai yang menghubungi untuk menawarkan lakonan.

“Walaupun saya tak selektif dan mencuba apa jua watak yang diberikan, tapi saya lihat juga pada kesesuaian. Biarpun sudah berusia 47 tahun, saya teringin juga untuk jayakan watak aksi pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui media baru-baru ini.

Ira kini mempertaruhkan program bual bicara terbitan dan kendaliannya sendiri, Santai With DIG menerusi saluran YouTube DiG TV Channel.

Tidak hanya menunggu tawaran yang datang, Ira turut mengambil kesempatan dengan kemajuan teknologi dan menghasilkan program bual bicaranya sendiri yang disiarkan menerusi saluran YouTube miliknya, DiG TV Channel.

Jelasnya, program 13 episod yang diberi nama Santai With DIG (Datin Ira Ghani) disiarkan setiap Jumaat jam 8.30.

“Untuk musim pertama, saya tampilkan suami saya, Datuk Dr Ibrahim Ahmad, yang juga pakar motivasi dan usahawan untuk membincangkan beberapa topik menarik dengan gaya santai.

“Insya-ALLAH untuk musim seterusnya, saya rancang untuk tampilkan beberapa selebriti pula dan saya sudah ada beberapa nama yang ingin saya tampilkan dalam program itu nanti,” ujarnya.

Penjenamaan semula

Iklan

Ira berkata, selain berehat lima tahun daripada industri seni, dia juga memperlahankan perniagaannya. Bagaimanapun keputusan itu bagai membuka ruang buat pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menggunakan nama Aura Seri yang dibinanya sejak 20 tahun lalu.

Selepas lima tahun mendiamkan diri, ada yang mengaitkan Aura Seri dengan perkara syirik.

Bukan itu sahaja, pihak itu turut memburukkan nama Aura Seri dengan mengaitkan unsur mistik.

“Individu terbabit memberitahu produk ini mampu membuang saka, menghalau hantu dan jin sehingga saya dituduh menjadi bomoh.

Iklan

“Bila kami hubungi dan beritahu hak kami terhadap Aura Seri, ada yang menarik semula iklan, tapi tidak kurang juga yang buat tak tahu.

“Atas faktor itu membuatkan saya nekad untuk buat penjenamaan semula dengan meletakkan nama Aura Seri by DIG,” ujarnya.

Ira berkata, walaupun dikhianati oleh individu yang pernah menjadi protegenya dalam bidang perniagaan, dia tidak akan serik untuk berbuat baik dan berkongsi ilmu pada masa akan datang.