KEPUTUSAN pihak produksi Awesome TV untuk membuat kelainan dengan membawakan episod istimewa Gelanggang Awesome Raja Lawak #Alumni Rabu lalu, ternyata berhasil apabila berjaya merekodkan jumlah tontonan tertinggi iaitu sebanyak hampir 2 juta.

Menurut Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli, strategi untuk menampilkan pemain komedi senior yang terlebih dahulu beraksi di pentas Raja Lawak di musim-musim sebelum ini ternyata berkesan.

Dalam masa sama berjaya menggamit memori serta membawa penonton mengimbau kembali kenangan zaman kegemilangan program komedi popular itu yang pertama kali diterbitkan pada tahun 2007.

AWESOME RAJA LAWAK
Datin Ezzan Zalilah

“Sejujurnya keputusan untuk membawakan kembali barisan alumni Raja Lawak ini dibuat selepas melihat kepada sambutan yang diberikan penonton apabila pihak produksi buat julung kalinya menampilkan mereka dalam persembahan peserta pada minggu sebelum ini dengan tema ‘Sejarah / Kenangan’.

“Rata-rata audiens termasuklah di kalangan warga netizen menyatakan hasrat masing-masing untuk melihat penglibatan lebih ramai alumni di minggu-minggu seterusnya yang mana secara tidak langsung bertindak sebagai pembakar semangat dan sumber inspirasi kepada setiap peserta yang bertanding pada musim ini.

“Ia terbukti apabila kesemua sembilan peserta yang membuat persembahan pada minggu lalu berjaya menampilkan persaingan yang sengit dan masing-masing mendapat tanda ‘3 UP’ daripada Khir Rahman, Ayda Jebat dan Saiful Apek selaku juri tetap seterusnya memberi indikasi bahawa persembahan yang dibawakan berjaya memenangi hati penonton.

“Dalam pada itu, kami merasakan para peserta boleh mengambil tip, menjadikannya rujukan dan panduan untuk mempersiapkan diri masing-masing dengan sketsa komedi yang lebih mantap untuk dipersembahkan di tiga minggu terakhir mereka ini.

“Ribuan penghargaan diucapkan kepada pemain komedi kita yang terdiri daripada peserta Raja Lawak musim 1 hingga 7; Mamak, Mamat Sepah, Amir, Abu Mamu, Man Raja Lawak, Caca Dboss, Ilham, Wan Wala, Achok, Chot, Pak Cu, Che Mat, Faiz, Kijat Kintan, Atan Kintan, Momo Okay, Yim Okay, Ajoe Mamu dan Idlan di atas persembahan terpadu mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, pihak produksi turut memberi kejutan berganda apabila mengumumkan kemenangan dua kumpulan peserta terbaik yang mana masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000.

AWESOME RAJA LAWAK
Mamak dan Abu Mamu (kanan), bersama Amirreka serta Mamat dinobatkan selaku juara.

“Gandingan sulung Mamak dan Abu Mamu yang membawakan sketsa ‘Mat Kilau’ berjaya membuatkan studio gamat dengan gelak ketawa. Keberanian mereka berlari mendekati juri tetap, Khir Rahman sambil melontarkan lawak spontan yang disambut selamba beliau, memecahkan lagi gelak penonton!

“Pada masa yang sama, gabungan duo Mamat Sepah dan Amir (Amirreka) juga tidak mengecewakan apabila masing-masing membawa penonton mengimbau kembali kenangan beraksi di pentas Raja Lawak,” jelasnya yang memaklumkan kedua-dua gandingan itu mendapat markah seri 86 peratus.

Iklan

Kembali seperti biasa

Mengulas mengenai persembahan minggu suku akhir yang akan berlangsung pada hari Rabu minggu depan, Ezzan berkata, pihaknya yakin selepas menyaksikan persembahan abang-abang senior mereka beraksi di pentas Gelanggang Awesome Raja Lawak #Alumni.

“Semangat sembilan peserta musim ini akan lebih berkobar-kobar dan menyala, justeru harapan saya agar sketsa dan persembahan yang mereka bakal tampilkan akan jadi lebih mantap dan padu.

“Dengan tema tugasan, ‘Spoof / Parodi’, kita dapat bayangkan peserta tampil dengan efek komik yang lebih segar, penuh kreatif, dengan imitasi karakter yang pelbagai dan disulami pula dengan elemen kejutan.

Iklan

“Saya pasti, dengan rekod jumlah tontonan sebanyak 18 juta setakat hari ini, selepas tujuh minggu bersiaran, sudah pasti penonton mendambakan kelainan untuk tiga episod terakhir Awesome Raja Lawak musim ini.

“Besar harapan kami agar taruhan minggu ini dan berikutnya dapat terus memenangi hati penonton sekaligus mengekalkan momentum tontonan dan terus menjadi program realiti popular pilihan rakyat Malaysia,” katanya.

AWESOME RAJA LAWAK
Baby Shima turut hadir sebagai penyanyi jemputan, di samping Nizam dan Chiwan selaku pengacara.

Awesome Raja Lawak bersiaran secara langsung pada setiap Rabu, jam 9 malam di Awesome TV saluran Astro (123) dan MyTV (112) menyaksikan gandingan Nizam Jentik-Jentik dan Chiwan Chilok selaku pengacara.