HASRAT Sa.Ya untuk melangkah konsert separuh akhir pada minggu hadapan tidak kesampaian apabila diumumkan tersingkir dari pentas Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) minggu suku akhir yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad.

Sa.Ya yang terdiri daripada Saiful Apek dan Yassin Yahya tampil menyampaikan lagu Blues Terengganu Kita nyanyian asal kumpulan Iklim hanya memperoleh markah sebanyak 58.2 peratus (%), sekali gus merupakan markah paling rendah pada konsert bertemakan Ku Petik Bintang Bintang itu.

Biarpun tampil dengan persembahan yang kreatif dan menghiburkan, juri berpendapat Sa.Ya mempunyai kekurangan dari segi vokal yang menyebabkan mereka berada di kedudukan tercorot.

Akur dengan penyingkiran tersebut, Sa.Ya berkata, sepanjang lapan minggu beraksi di pentas GV8, mereka sudah memberikan yang terbaik.

“Cikgu saya, Cikgu Siti Hajar pernah pesan, orang yang paling kaya adalah orang yang tiada hutang. Jadi kami rasa kami dah langsaikan sebahagian besar hutang kami pada pentas seni dan pentas ini.

“Kalaulah kami juara sekalipun dan dapat hadiah RM100,000, ia akan habis dalam sekelip mata, tetapi hadiah yang takkan habis dan berharga ialah semua rakan-rakan peserta, peminat dan semua yang terlibat dalam menjayakan program ini,” ujar Saiful Apek sebaik sahaja diumumkan tersingkir.

Sementara itu, Suki Low sekali lagi tampil dengan persembahan yang memikat hati juri sekali gus mencuri perhatian ramai menerusi lagu berbahasa Korea, You Are My Everything, nyanyian Gummy.

Aksi Suki yang turut bermain piano ketika membuat persembahan tersebut menjadi nilai tambah yang memberi kelebihan pada dirinya sehingga mendapat pujian barisan juri.

Kedudukan di tempat pertama dengan markah tertinggi 78.9 itu melayakkan Suki menerima Anugerah Bintang Paling Power Meow, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000.

Sementara itu Nikki pula merupakan penerima Anugerah Betul Betul Luar Biasa Digi dan Anugerah Cuckoo.

Kesemua peserta diadili menerusi format penjurian seratus peratus oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada Datuk Ramli MS, dan Hetty Koes Endang selaku juri tetap, manakala Datuk Mokhzani Ismail dan Datuk Norman Abdul Halim sebagai juri jemputan.

Selain Suki, peserta lain yang turit melangkah ke pentas separuh akhir pada minggu hadapan ialah Aliff Aziz, Aweera, Nikki Palikat, Adibah Noor, Azan Scan, Ani Mayuni dan Shidee.

GV8 dihoskan pasangan pengacara serasi, Nabil Ahmad dan Jihan Muse itu disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (saluran 104), setiap Ahad, jam 9 malam bermula 21 November lalu.

Kedudukan peserta dan markah penuh konsert minggu suku akhir

  1. Suki Low (You Are My Everything/Gummy) – 78.9%
  2. Aliff Aziz (Rapuh/Nastia) – 76.8%
  3. Aweera (Dia/Qody Rani) – 73%
  4. Nikki Palikat (Zheng Fu/Na Ying) – 72%
  5. Adibah Noor (Dhoom Machale/Sunidhi Chauhan) – 68.7%
  6. Azan Scan (Right Here Waiting/Richard Marx) – 66.2%
  7. Ani Mayuni (Ngajat Tampi/Noraniza Idris) – 64.3%
  8. Shidee (Di Ambang Sore/S. Effendy) – 58.6%
  9. Ya (Blues Terengganu Kita/Iklim) – 58.2%

(FOTO: Azrul Rafie – Astro)