MESKI hanya sempat mengenali Allahyarham Sandra Dianne dalam tempoh waktu  singkat, penyanyi Sufi Rashid mengakui cukup terkesan dengan kehilangan peserta Big Stage 2020 itu.

Sufi yang menjadi rakan duet terakhir Allahyarham Sandra pada konsert minggu ketiga Big Stage 2020 menerusi lagu Aku, Kau dan Muzik, dua minggu lalu itu tidak menyangka itulah kerjasama pertama dan terakhir mereka.

“Allahyarham mengundang saya menjadi rakan duetnya pada konsert minggu ketiga Big Stage 2020, yang juga merupakan konsert terakhirnya sebelum meninggal dunia.

“Saya kenal Sandra tak lama iaitu hanya dalam tempoh seminggu itu sahaja untuk konsert tersebut.

“Bagaimanapun kami mempunyai keserasian yang cukup baik dan saya senang sekali bekerjasama dengannya. Dia tak banyak karenah dan sangat positif,” ujarnya.

Sufi berkongsi memorinya bersama Allahyarham Sandra ketika ditemubual oleh Alif Satar dan Sherry AlHadad ketika konsert Big Stage Tribute #SandraDalamKenangan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam tadi.

Dalam pada itu, penyanyi asal Singapura itu tidak dapat menyembunyikan rasa sedihnya dan mengakui turut sama menangisi pemergian Sandra ketika mendapat khabar duka itu pada Jumaat lalu.

“Berita pemergiannya sangat mengejutkan dan pertama kali dalam hidup, saya menangis untuk seseorang yang saya baru sahaja mengenalinya.

“Itu menunjukkan betapa baiknya seorang Sandra ini,” akui Sufi.

Iklan

Terdahulu Allahyarham Sandra atau nama sebenarnya Alessandra Dianne Ampuria, 26, meninggal dunia di Hospital Putrajaya, awal pagi Jumaat selepas enam hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital tersebut.

Penyanyi Hey Kau itu mengalami kemalangan jalan raya di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) pada Sabtu minggu lalu ketika dalam perjalanan ke PICC untuk raptai penuh konsert Big Stage minggu keempat.

Iklan

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di kampung halamannya di Tanah Perkuburan Islam kampung Kauluan, Tuaran, Sabah pada hari yang sama.

 

(FOTO: Instagram Sufi Rashid)