KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTAC) menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersama Kerajaan Negeri Perlis terus komited dalam usaha menganjurkan program Pesta Angin Timur Perlis (PAT) 2021  edisi kesembilan akan bermula hari ini dan esok.

Bagaimanapun, penganjuran kali ini berbeza dari tahun-tahun sebelumnya apabila PAT buat julung kalinya dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian ekoran situasi pandemik Covid-19 dan dijenamakan sebagai PAT2021@Online.

Program itu akan disiarkan secara maya melalui platform digital Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara iaitu Facebook Page JKKN TV.

Semua kandungan yang akan disiarkan sepanjang dua hari program berlangsung telah pun dirakam terlebih dahulu dengan pematuhan SOP ketat.

PAT2021@Online akan dimeriahkan dengan persembahan Kumpulan Kesenian JKKN Perlis menerusi Tarian Kesenian Negeri Perlis, persembahan pergendangan pelbagai kaum merangkumi Melayu, India, Cina dan Siam dan persembahan nyanyian lagu longat negeri Perlis oleh artis-artis tempatan.

Diikuti pesembahan kesenian autentik negeri Perlis seperti teater Jikey, Awang Batil, muzik Alu Bunyi dan banyak lagi.

Tidak ketinggalan, program tersebut turut diserikan dengan penampilan khas penyanyi Khai Bahar yang akan mempersembahkan lagu-lagu rakyat Perlis.

Sepanjang dua hari penganjuran PAT2021@Online, pelbagai program sisipan telah disusun untuk para penonton seperti program Jom Belajar membuat Wau Helang, makan tradisional Perlis dan tutorial penanaman pokok mempelam Harumanis.

Iklan

Turut diselitkan ialah segmen Jualan Produk untuk mempromosikan produk usahawan Perlis yang akan dijual secara dalam talian.

Program ini juga akan memaparkan segmen Bicara Bendang yang akan membincangkan isu berkaitan ‘Semangat Padi’, selain Ceramah Agama dan Tazkirah Rohani.

Iklan

Matlamat utama pesta ini adalah untuk mempromosikan aktiviti kebudayaan tempatan sebagai salah satu produk industri pelancongan negeri Perlis serta menyemarakkan kesenian, kebudayaan serta tradisi masyarakat tempatan kepada orang luar.

PAT2021@Online, dirasmikan secara bersama oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Sri Nancy Shukri dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, pada Jumaat.