FILEM Polis Evo 3 berjaya cipta rekod dengan meraih kutipan RM50 juta dalam tempoh 24 hari rasmi termasuk tayangan awal dan sekali gus menjadi filem aksi komedi paling laris di Malaysia.

Meskipun memasuki minggu keempat tayangan di pawagam seluruh Malaysia, Brunei, Singapura dan dihimpit dengan pelbagai filem-filem daripada francais besar Hollywood, namun filem terbitan Astro Shaw bersama Skop Productions dan TGV Pictures itu masih mendapat kepercayaan penonton dari semua latar serta peringkat usia.

Penerbit Eksekutif Polis Evo 3 merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya bersyukur atas sambutan yang memberangsangkan daripada penonton.

“Kejayaan ini diharap dapat menjadi penyuntik semangat buat kami serta para penerbit di luar sana untuk terus menghasilkan karya berkualiti kerana penonton di luar sana telah membuktikan sokongan mereka terhadap filem tempatan.

“Terima kasih juga kepada pihak media, rakan penerbit, barisan pelakon, dan istimewa penonton Malaysia, tanpa anda kejayaan ini tidak akan berhasil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Filem arahan Syafiq Yusof itu menampilkan barisan pelakon seperti Zizan Razak, Shaheizy Sam, Sharnaaz Ahmad, Nora Danish, Syafiq Kyle, Farali Khan, Douglas Lim, Fauzi Nawawi, Fezrul Khan, Eyka Farhana dan ramai lagi.

Iklan

Polis Evo 3 mengisahkan tentang Inspektor Khai dan Inspektor Sani kembali dengan misi terbaru dan kali ini pasukan mereka disertai Inspektor Dani, Inspektor Julie dan Inspektor Dell yang mempunyai kepakaran berbeza.

Keadaan bertambah rumit apabila sasaran seterusnya adalah Inspektor Khai. Persahabatan Inspektor Khai dan Inspektor Sani diuji apabila menyedari suspek yang diburu mempunyai kaitan dengan kisah silam Inspektor Khai.