STATUS sebagai seorang ibu tidak pernah menghalang pelakon Mira Filzah untuk terus aktif berlakon dan merencana kerjaya seninya sebagaimana sebelum ini.

Selepas beberapa bulan berehat kerana melahirkan cahaya mata sulung pada Mei lalu, pemilik nama sebenar Nur Amirah Filzah Badioezaman, mengakui rindu untuk kembali berlakon dan kini sedang mempertimbangkan beberapa tawaran sebelum turun ke set penggambaran pada tahun hadapan.

“Kalau diikutkan selepas habis berpantang, saya sudah mendapat tawaran berlakon dan banyak produksi yang risik-risik tetapi fokus saya lebih kepada uruskan anak.

“Apatah lagi ketika itu saya belum ada pembantu, jadi saya hanya terlibat dengan tawaran menjayakan kempen komersial yang tidak memerlukan masa bekerja lama.

“Alhamdulillah sekarang semuanya sudah diatur dengan baik dan saya juga sudah ada pembantu untuk uruskan anak, jadi tiada masalah untuk kembali berlakon pada tahun depan,” ujarnya yang mendapat sokongan penuh daripada suami.

Mira sibuk uruskan anak, namun tidak pernah lupakan dunia lakonan.

Pun begitu wanita 29 tahun itu berkata, keterujaannya untuk kembali aktif berlakon bukan kerana mahu terus mengekalkan nama di puncak populariti, sebaliknya lebih kepada minat dan keinginan mencuba pelbagai karakter baharu.

“Populariti bukan lagi keutamaan saya, tetapi keinginan kembali aktif berlakon itu lebih kepada minat dan mencari kelainan dalam lakonan saya yang belum dapat lakukan sebelum ini.

“Status sebagai ibu tidak menghalang saya untuk terus berlakon, cuma saya perlu memilih tawaran yang betul dan menyusun jadual kerja dengan baik agar masa serta tumpuan kepada anak tidak terjejas,” katanya.

Tawaran untuk anak

Mira yang ditemui pada majlis pelancaran program RR Empire dan pengumuman dirinya sebagai muse koleksi tudung terbaharu RR Rivera, milik pereka terkenal Rizman Ruzaini juga meluahkan rasa syukur masih menjadi pilihan banyak pihak untuk bekerjasama.

“Walaupun saya lama berehat daripada berlakon, alhamdulillah rezeki menjayakan kempen komersial melibatkan beberapa jenama tempatan mahu pun antarabangsa sentiasa ada.

“Terbaru saya diumumkan sebagai muse koleksi tudung RR Rivera dan gembira terus dapat kepercayaan daripada Rizman Ruzaini bagi mewakili produk mereka yang sememangnya begitu dekat dengan saya sebelum ini.

Iklan

“Insya-ALLAH selepas ini ada juga tawaran menjayakan kempen baharu daripada jenama antarabangsa yang akan saya kongsikan nanti,” katanya.

Mira bersama Rizman dan Ruzaini pada majlis pengumuman dirinya sebagai muse koleksi tudung terbaharu RR Rivera.

Dalam pada itu, pelakon Pujaan Hati Kanda itu tidak menafikan anaknya, Wan Khair Amir yang kini berusia tujuh bulan turut diintai beberapa pihak yang ingin menjalinkan kerjasama.

“Saya dan suami sentisa terbuka dan tidak menutup ruang jika ada pihak yang mahukan penglibatan anak kami dalam bidang komersial mahupun seni.

“Bagaimanapun kami perlu menapis dan membuat pertimbangan mengikut kesesuaian usianya agar ia tidak mengganggu rutin normalnya.

Iklan

“Penglibatan dalam iklan komersial saya kira tiada masalah, tetapi untuk lakonan mungkin belum masanya lagi,” akhirinya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.