TIDAK hanya mahu bergantung kepada populariti diraih menerusi gelaran juara Dewi Remaja 2019, selebriti muda yang sedang membina nama dalam industri, Shaza Bae mempunyai misi tersendiri.

Menurut Shaza atau nama lengkapnya Shaza Nuriman Mohamad Zamri, 26, dia tekad mengetepikan pandangan skeptikal kebanyakan orang yang menganggap bintang baharu sepertinya hanya mahu mengejar glamor dan populariti, sedangkan bakat tidak ke mana.

Memulakan perjalanan seninya dari bawah dengan bergiat aktif sebagai model iklan komersial, sebelum berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan dan kini sebagai pelakon, Shaza sentiasa mempersiapkan dirinya untuk memberikan yang terbaik.

“Faktor utama saya berada dalam dunia seni adalah kerana minat dan atas sebab itu saya cuba memberikan sepenuh komitmen untuk segala peluang yang saya dapat.

“Saya ingatkan diri agar sentiasa berusaha dan bersungguh-sungguh membuktikan bakat diri agar mereka yang memberikan peluang tidak ralat memilih saya,” ujarnya kepada SinarPlus.

Merasakan usahanya itu berbaloi, Shaza meluahkan rasa terharu apabila pembabitannya dalam dunia lakonan diterima baik penonton.

Malah ramai memuji lakonannya menerusi drama Perempuan Tanpa Dosa yang disiarkan pada rahun lalu dan Marry Me Senorita (2021) yang dikatakan bersahaja dan tidak menampakkan dirinya sebagainya pelakon baharu.

“Alhamdulillah saya bersyukur apabila ramai memberikan kata-kata positif, sekali gus memberikan semangat agar saya tampil lebih baik lagi selepas ini.

“Saya masih baru, tetapi mungkin pengalaman ketika aktif dalam iklan komersial seawal umur 16 tahun itu banyak membantu dari sudut disiplin diri, usaha dan komitmen yang diletakkan pada setiap kerja.

“Saya sentiasa mahu menambah ilmu dan terbuka untuk belajar selagi ada peluang demi memperbaiki diri serta menjadi yang terbaik dalam kerjaya.

“Insya-ALLAH saya juga ada perancangan masuk kelas dan belajar ilmu lakonan daripada mereka yang profesional seperti ibu Fauziah Nawi, Kak Ogy dan siapa sahaja yang boleh membantu untuk tujuan itu,” katanya.

Hikmah di sebalik pandemik Covid-19

Mengakui tidak mudah membina nama dan menempatkan diri dalam industri, Shaza yang juga pengacara program hiburan, Hlive! itu percaya, usaha berterusan dan kesungguhan tidak berbelah bahagi akan membawa kepada kejayaan paling manis.

“Jujur saya akui, ketika pandemik Covid-19 bermula, saya rasa sedikit ralat kerana ia berlaku pada waktu saya baru sahaja masuk industri arus perdana.

“Ketika itu semangat saya berkobar-kobar dan teruja nak tunjuk bakat, selain buktikan pada semua saya juga mampu sumbangkan sesuatu untuk industri.

“Bagaimanapun keterujaan itu terhenti apabila aktiviti seni tidak dapat dijalankan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan saya mula fikir macam-macam sehingga pernah menangis kerana kecewa.

Iklan

“Bagaimanapun, apa yang berlaku itu ada hikmahnya dan menjadikan saya seorang yang bersyukur dan menghargai apa dimiliki,” katanya.

Tambah Shaza, meskipun banyak kekangan untuknya membina nama dalam situasi pandemik yang masih belum menunjukkan tanda reda, dia lega apabila segala usahanya berhasil dengan baik.

“Orang kata senang nak jadi pelakon, tapi bagi saya tidak, jika tanpa usaha kuat. Bila kita susah nak dapatkan sesuatu, tentunya kita akan lebih menghargai apa yang diperoleh selepasnya.

“Alhamdulillah sekarang ini satu demi satu peluang saya peroleh. Antaranya saya akan tampil dalam sebuah program hiburan baharu yang akan diumumkan nanti, selain memulakan penggambaran sebuah telefilem dan drama baharu berjudul Jangan Ganggu Jodoh Aku,” katanya.

Dalam pada kesibukan dengan aktiviti seni, anak kelahiran Kuala Lumpur itu juga tidak lupa memberi perhatian kepada tanggungjawabnya sebagai pensyarah sambilan dalam bidang penulisan kreatif di Fakuliti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Puncak Perdana, Shah Alam.

Iklan

“Saya sendiri tidak menyangka dapat menguruskan masa dengan sebaiknya untuk melunaskan tanggungjawab saya, baik sebagai tenaga pengajar, mahupun sebagai anak seni.

“Tidak dapat dinafikan, ada masa saya agak terkejar-kejar untuk pastikan semuanya berjalan lancar dan ia agak memenatkan.

“Bagaimanapun minat dan disiplin diri menjadi kunci kepada segala-galanya,” katanya.

 

(FOTO: Instagram Shaza Bae)