Populariti mendadak, Iman Suhana ambil peluang bina nama

Iman Suhana
Iman Suhana
A
A
A

NAMA Iman Suhana tiba-tiba sahaja meledak dan menjadi sebutan ramai selepas tampil menerusi watak Ruzita dalam drama Takdir Yang Tertulis (TYT) baru-baru ini.

Biarpun hanya mengisi watak pembantu, lakonan Iman atau nama sebenarnya Norsuhana Mohamad Wahid, 31, berjaya mencuri perhatian penonton yang rata-ratanya menyifatkan lakonannya cukup bersahaja dan menghiburkan.

“TYT membawa tuah tersendiri buat saya apabila karakter Ruzita yang ‘tingtong’ itu menjadi kegemaran ramai walaupun ia sebenarnya merupakan watak antagonis.

“Banyak maklum balas positif diberikan peminat menerusi komen dan mesej langsung di media sosial yang memberi dorongan agar saya terus berlakon dan bermain dengan lebih banyak lagi watak pada masa akan datang,” jelasnya kepada SinarPlus.

Biarpun gembira dengan penerimaan orang ramai terhadap watak tersebut, Iman bagaimanapun turut meluahkan kerisauan sekiranya terus diberi karakter sama pada masa akan datang.

“Secara jujur sebagai pelakon, saya sebolehnya mahu mengelakkan berlakon watak sama kerana adalah penting untuk kita bermain dengan lebih banyak karakter untuk mempelbagai gaya lakonan.

“Bagaimanapun, saya tidaklah bermaksud untuk menolak sekiranya ada tawaran yang sebegitu untuk masa akan datang, tetapi kalau boleh berilah peluang saya membuat kelainan,” katanya yang kini melekat dengan gelaran ‘Ita Ting Tong’.

Iman tampil buat pertama kali di skrin menerusi drama Monalisa pada tahun 2018, sebelum berehat seketika daripada lakonan kerana melahirkan cahaya pertamanya, Maya Inara yang kini berusia tiga tahun.

Terdahulu sebelum itu, pemegang Ijazah Sarjana Muda Teater, dari Universiti Teknologi Mara itu aktif dalam lakonan pentas dan pernah terlibat dengan pementasan Mud The Musical, terbitan Puan Sri Tiara Jacquelina selama dua tahun.

“Pembabitan awal saya dalam bidang lakonan bermula di pentas teater dan kemudian barulah lakonan drama.

“Saya kini lebih aktif berlakon drama bukan kerana tarikan populariti ataupun pulangan pendapatan lebih tinggi, tetapi lebih kepada mengisi peluang mengembangkan kerjaya seni.

“Bagi saya, sama ada berlakon di pentas, skrin, mahupun layar lebar, kerja kita tetap sama iaitu berlakon dan yang membezakan hanya ruang lakonan dan pengalaman,” katanya.

Dalam pada itu, Iman yang yang bakal tampil dengan beberapa drama baharu termasuk Aku Yang Merinduimu, Love Elsa dan 6 Langkah Menghancurkan Ex-Boyfriend itu mengakui terharu apabila ramai yang mula nampak bakatnya.

“Saya tidak kisah pun jika orang tidak kenal sebelum ini kerana apa yang lebih penting saya laksanakan tanggungjawab sebagai pelakon dengan sebaiknya dan kerja seikhlas hati.

“Alhamdulillah sekarang mungkin orang sudah nampak keberadaan saya dalam bidang lakonan.

“Saya bukan mahu orang nampak dari sudut mengejar populariti, tetapi lebih kepada memberi lebih peluang untuk saya explore dalam bidang ini,” akhirinya.

 

(FOTO: Instagram Iman Suhana)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca