PENYANYI Farred Zane tidak menyangka single pertamanya, Sunyi, meledak dan mendapat perhatian ramai selepas diangkat sebagai lagu tema atau Original Soundtrack (OST) telefilem Kasih Tau Foo Fah, yang disiarkan di TV3, pada 19 September lalu.

Populariti karya tersebut ternyata mendahului Farred atau nama sebenarnya Mohd. Farid Mohd. Zin, 30, apabila ramai peminat muzik lebih mengenali lagu tersebut berbanding penyanyinya.

Sunyi yang berentak pop balada itu merupakan lagu ciptaan sepenuhnya oleh Farred dan dihasilkan pada tahun 2019.

“Lagu Sunyi mengisahkan tentang seorang budak yang kesunyian sejak kecil hingga dewasa setelah kehilangan ibu dan ayah.

“Alhamdulillah, saya terharu apabila lagu itu mendapat maklum balas positif daripada orang ramai,” katanya yang merupakan artis naungan Saudagar Seni.

Mengulas lanjut tentang idea menghasilkan lagu tersebut, kata anak kelahiran Kelantan itu, ia ditulis berdasarkan kisah kehidupan anak-anak di Palestin yang kehilangan ibu bapa sejak kecil.

“Kisah sedih mereka itu memberi idea pada saya untuk hasilkan Sunyi. Ia mudah melekat di hati pendengar kerana ia berkisar tentang kemanusiaan.

“Malah susunan muzik lagu tersebut telah dicantikkan oleh mereka yang tidak asing lagi dalam bidang muzik seperti Alfa, Rumy dan Daqmie yang banyak memberikan tunjuk ajar bermakna selain memberikan haluan jelas untuk lagu ini,” katanya.

Biarpun tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) menghadkan aktiviti promosi lagu tersebut pada awalnya, Farred bersyukur apabila lagu itu kini hangat diperkatakan.

Iklan

“Lagu Sunyi bertuah kerana terpilih sebagai lagu OST, sekali gus dapat memperkenalkan lagu itu kepada umum.

“Ia juga disokong dengan Muzik Video yang kini boleh ditonton di saluran YouTube Saudagar Seni Media sejak 17 September lalu.

“Alhamdulillah jumlah tontonan semakin meningkat, malah saya terharu apabila menerima komen-komen positif daripada peminat,” katanya.

Iklan

Lulusan Diploma Seni Kulinari dari Management & Science University (MSU) itu sebelum ini pernah menganggotai kumpulan Damai & Friends dan sempat menghasilkan album berjudul Satu Kalimah dan tercalon dalam Anugerah Industri Muzik 2014.

 

(FOTO: Saudagar Seni)