SAMBUTAN Hari Ibu tahun ini nampaknya menjadi momen yang cukup berharga buat pelakon, Priyanka Chopra.

Setelah berkongsi khabar gembira mengenai kelahiran anak pertama mereka menerusi kaedah ibu tumpang 22 Januari lalu, bintang Quantico itu akhirnya berkongsi perihal bayi perempuan yang diberi nama Malti Marie Chopra Jonas.

“Pada Hari Ibu ini, kami tidak dapat melupakan apa yang berlaku sejak beberapa bulan lalu dan perjalanan yang telah kami tempuhi, yang mana kami tahu, ramai yang melalui pengalaman sama.

“Selepas lebih 100 hari di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), anak perempuan kami akhirnya pulang ke rumah.

NICK JONAS-PRIYANKA CHOPRA
Menurut sumber terdekat pasangan ini, Priyanka dan Nick begitu teruja dengan kepulangan Malti Marie.

“Perjalanan setiap keluarga adalah unik dan memerlukan tahap kesabaran yang tertentu. Walaupun perjalanan kami sejak beberapa bulan lalu sangat mencabar, tetapi apabila difikirkan semula, ia sangat berharga dan sempurna setiap saat.

“Kami sangat gembira apabila anak kecil kami akhirnya pulang. Terima kasih kami ucapkan kepada setiap doktor, jururawat, dan doktor pakar di Rady Children’s La Jolla and Cedar Sinai, Los Angeles.

Iklan

“Kisah kehidupan kami bermula sekarang dan anak kami benar-benar kuat. Jom tempuhi kehidupan bersama MM! Ibu dan ayah sayang kamu,” tulis Miss World 2000 itu.

Iklan

Priyanka juga tidak lupa mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada seluruh ibu di dunia dan turut berterima kasih kepada suaminya, penyanyi Nick Jonas yang menjadikan dia seorang ibu.

Priyanka dan Nick berkahwin pada 2018 dalam majlis gilang gemilang di India setelah dua tahun menjalinkan hubungan cinta.