UMUM barangkali sudah mengetahui kisah perkahwinan penyanyi, Nikki Palikat dan komposer, Audi Mok yang sudah terlerai sejak Mac 2021 selepas 12 tahun mereka mendirikan rumah tangga.

Biarpun sudah tidak lagi bersama sebagai suami isteri, Nikki atau nama penuhnya Nicolette Louisa Palikat masih mengekalkan hubungan baik dengan Audi.

Buktinya apabila wanita berusia 38 tahun itu memilih untuk terus bekerjasama dengan mantan suaminya menerusi single baharunya, Panas.

Ditebak mengenai pemilihan Audi sebagai komposer, Nikki mengakui selesa berkolaboratif dengan lelaki berusia 50 tahun itu.

“Kami kenal dulu pun sebab bekerja untuk sebuah lagu (Caramu) dan saya sangat selesa bekerja dengan Audi kerana dia seorang yang sangat berbakat.

“Bagi saya, apa salahnya untuk teruskan bekerja sebab kita dah serasi dan selesa bekerjasama walaupun tidak lagi bergelar suami isteri,” ujarnya kepada SinarPlus baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai Panas, lagu berkenaan merupakan hasil ciptaan Audi dan lirik ditulis oleh Shazee.

Nikki tampil berani dengan single berentak EDM, Panas.

Menariknya, karya itu menyaksikan percubaan berani Nikki menyanyikan lagu bergenre Electric Dance Music (EDM).

“Sebenarnya lagu ini sudah pun dihasilkan dua tahun lepas dan saya jadi penyanyi demo sahaja. Kemudian, bila saya nak keluarkan lagu rancak, saya terfikir mengenai lagu Panas ini dan setelah dirisik, Audi maklumkan lagu itu masih ada.

“Selepas perbincangan bersama, Shazee tukar sedikit lirik lagu ini agar bersesuaian dengan apa yang saya mahukan. Ia (lagu Panas) memang satu pertaruhan yang berani, tapi seperti biasa saya bukan jenis yang takut untuk mencuba sesuatu yang baharu kerana ia menyeronokkan,” ujarnya.

Pada masa sama, Nikki berharap lagu Panas dapat diterima baik oleh peminat dan seluruh pencinta muzik tempatan.

“Genre lagu ini sedikit berbeza daripada yang saya pernah bawakan sebelum ini. Disebabkan ramai peminat yang menantikan saya muncul dengan lagu bergenre rancak atau dance, saya dengan penuh harapan naskhah ini mendapat sambutan yang memberangsangkan,” katanya yang merancang untuk mengadakan showcase atau persembahan istimewa buat peminat.

Iklan

Bahagia cara sendiri

Dalam pada itu, menyingkap sedikit kehidupan peribadinya, naib juara Gegar Vaganza musim kelapan itu mengakui bahagia dengan kehidupan sekarang.

Namun, pada masa sama, Nikki masih berusaha menyesuaikan diri untuk berjauhan dengan anak tunggalnya, Liam, 13, yang kini menetap bersama Audi.

“Bagi saya, hidup dengan jujur tanpa perlu berpura-pura atau menipu adalah yang paling bahagia. Saya rasa selesa dengan diri saya dan itu yang penting.

“Cuma sedih kerana tidak lagi duduk serumah dengan anak kerana saya suka menjadi ibu. Bagi saya, tugas sebagai ibu adalah kerja yang saya boleh buat tanpa penat lelah.

Iklan

“Rindu untuk meluangkan masa dengan Liam sebelum waktu tidurnya, berbual dan beri dia banyak kasih sayang,” kata Nikki yang tidak kisah berkongsi cerita mengenai kehidupannya sebagai ibu tunggal kerana mahu wanita lain yang berada dalam situasi sama tidak berasa keseorangan.

Tambah penyakit berbakat itu lagi, beliau juga bersedia untuk melalui kembali kehidupan berumah tangga, namun hanya selepas menjumpai individu yang benar-benar tepat.

“Saya seorang yang romantik, suka bercinta, suka ada pasangan, nak jadi ibu lagi. Cuma pada pandangan saya, kalau kita single, kita enjoy tanpa perlu rasa sedih, berfikiran negatif atau kutuk diri sendiri kerana merasakan tidak laku.

“Selepas melalui kegagalan berumah tangga, saya rasa, boleh buat pilihan yang lebih matang dan kalau saya berkahwin lagi, saya harap ia akan bertahan sampai bila-bila,” jelasnya.