HAMPIR setahun berhadapan ujian pandemik Covid-19 bukanlah satu situasi yang mudah untuk rakyat Malaysia. Virus ini bukan sahaja merenggut kesejahteraan fizikal, malahan ia turut memberi ancaman kepada kesihatan mental masyarakat.

Justeru, TV AlHijrah bakal tampil dengan pengisian program lebih menarik pada tahun 2021 untuk disajikan kepada penonton. Antaranya ialah tiga program baharu yang terdiri daripada MY H.A.U.S, Dengarkan dan Hijrah Berselawat.

Tidak hanya itu, program-program tersebut juga memposisikan TV AlHijrah sebagai stesen yang mendengar nadi denyut serta penenang jiwa rakyat Malaysia di saat negara menghadapi ancaman Covid-19 dan kesuraman ekonomi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut berbesar hati melancarkan tiga program baharu itu menerusi rancangan Assalamualaikum ‘Musa’adah Covid-19: Kami Peduli Anda’ baru-baru ini.

“Saya doakan supaya ketiga-tiga program ini menjadi program yang ALLAH makbulkan, malah mendapat sambutan baik daripada khalayak masyarakat,” ujarnya.

My H.A.U.S yang akan disiarkan pada setiap Isnin, 9 malam, bermula 25 Januari depan merupakan sebuah program realiti ubah suai rumah golongan asnaf bagi mendapatkan tempat kediaman selesa.

Iklan

Sementara Dengar pula merupakan program yang mencari individu yang kisahnya tular akibat kesusahan hidup dan akan dibantu agensi kerajaan yang berkaitan.

Diikuti program Hijrah Berselawat yang menyaksikan antara usaha TV AlHijrah untuk menyediakan terapi rohani dan keagamaan kepada masyarakat.

Iklan

Program itu akan disiarkan pada Khamis terakhir setiap bulan, jam 9 malam bermula 31 Disember ini.

(FOTO: TV AlHijrah)